Terdesak punca wanita luah rasa kecewa di media sosial

Terdesak punca wanita luah rasa kecewa di media sosial

DR. WAN Norashikin Wan Noordin (kanan) menziarahi Selamah Hamid yang lumpuh di Sungai Manik dekat Pasir Salak, hari ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Wanita yang meluahkan rasa kecewa di media sosial mengakui berbuat demikian kerana buntu dan terdesak setelah permohonannya untuk mendapatkan bantuan kebajikan ibunya yang sakit, tidak berjaya.

Diwiyana Mohammed, 37, berkata, dia bertindak sedemikian kerana sudah kehabisan wang simpanan untuk menguruskan keperluan ibunya yang terlantar sakit.

Katanya, ibunya, Selamah Hamid, 73, lumpuh sejak enam tahun lalu hanya menggunakan lampin pakai buang dan minum susu khas serta memerlukan kelengkapan pembersihan yang lain.

“Saya sangat terdesak dan menyebabkan saya membuat video berkenaan.

“Kami sudah lama menunggu permohonan untuk diluluskan, apatah lagi sekarang lampin pakai buang sudah habis, duit simpanan pun tiada.

“Saya terdesak dan buntu apabila permohonan bantuan masih belum diterima,” katanya ketika ditemui pemberita di Parit 1A, Sungai Manik di sini hari ini.

Diwiyana bersama suami, Taufiq Ikhmal Mohd Yusuf, 25, ibu dan enam anak termasuk tiga daripada perkahwinan terdahulu sebelum ini tinggal di Cheras, Kuala Lumpur.

Mereka berpindah ke Sungai Manik dua tahun lalu dan berniaga burger dan memperoleh pendapatan harian tidak menentu.

Katanya, sebelum ini dia menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)  sebanyak RM350 sebagai penjaga ibu yang terlantar.

PINDAH

“Apabila berpindah ke sini, saya telah memaklumkan perpindahan kepada jabatan berkaitan dan saya hantar borang permohonan baharu kepada JKM di sini selepas berpindah, tetapi borang pertama dikatakan hilang.

“Saya hantar sekali lagi Januari lepas dan sehingga sekarang masih belum ada jawapan, permohonan kepada Baitulmal pula baru dikemukakan bulan ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin menziarahi dan memberikan sumbangan kepada keluarga itu di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah JKM negeri, Nor Tipah Majin.

Menurut Nor Tipah, ibu kepada Diwiyana memang layak menerima bantuan JKM dan bukannya disebabkan video yang tular.

“Dalam semakan JKM daerah, borang permohonan bantuan memang ada, namun disebabkan dari segi pertukaran atau pun berpindah sistem menyebabkan ada kekangan” katanya. 

Semalam, klip video berdurasi tiga minit dimuat naik di aplikasi TikTok Dyana Mohammed mendakwa sudah dua tahun memperjuangkan bantuan untuk ibunya yang sakit. –   UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya