KUANTAN: Pusat-pusat tahfiz, khususnya di negeri ini disaran diurus tadbir dengan baik dan profesional agar kebajikan pelajarnya terjaga dan sistem pembelajaran berjalan dengan baik.
Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, aspek keselamatan juga harus sentiasa dititikberatkan agar tidak berlaku perkara tidak diingini.
Justeru, titah baginda, pembukaan pusat tahfiz baharu pada masa akan datang mesti disemak dengan cukup teliti.
“Saya tidak mahu berbangga dengan bilangan pusat tahfiz yang banyak tapi pengurusan lemah, asramanya usang, atap bocor dan kebajikan pelajar tidak terjaga.
“Pusat tahfiz yang sedia ada, perlu sentiasa diperiksa demi kebaikan semua pihak manakala janganlah mana-mana pembukaan pusat tahfiz baharu dibuat sambil lewa, buatlah sesuatu dengan bersungguh-sungguh dan siapnya dengan sempurna,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan dan Khatam Hafazan Al-Quran Maahad Tahfiz Negeri Pahang 2021 yang diadakan di Hotel Zenith di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Salehuddin Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Tengku Hassanal bertitah, model pembangunan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNap) dapat dijadikan penanda aras dalam mencorakkan institusi tahfiz al-Quran di negara ini.
“Saya dimaklumkan, di negeri ini ketika ni terdapat lebih 100 buah pusat tahfiz persendirian dan swasta yang telah dibangunkan.
“Alhamdulillah… kerana masing-masing bersaing untuk melakukan kebaikan dengan melahirkan para huffaz seramai yang mungkin,” titah baginda.
Dalam majlis tersebut, seramai 58 pelajar menerima anugerah kecemerlangan, merangkumi anugerah khatam hafazan 30 juzuk, anugerah Diploma Tahfiz Al-Quran, anugerah kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kecemerlangan kokurikulum. -UTUSAN ONLINE