Tarian Singa kembali selepas dua tahun - Utusan Malaysia

Tarian Singa kembali selepas dua tahun

PASUKAN Tarian Singa di bawah kelolaan parti DAP Triang memeriahkan suasana perayaan Tahun Baharu Cina kali ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Dua tahun menyepi, akhirnya pasukan Tarian Singa DAP bahagian Bera dapat kembali beraksi bagi memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina pada kali ini.

Dikatakan pasukan tersebut sering melakukan persembahan tarian singa dari rumah ke rumah, namun, terhenti selama dua tahun kerana sekatan pergerakan dan aktiviti akibat Covid-19. 

Menurut Ketua Wanita DAP Bahagian Bera, Leong Yu Man, tahun ini mereka dapat kembali beraksi, namun, pergerakan mereka terhad dengan hanya menerusi janji temu awal sahaja. 

“Tahun-tahun sebelum ini, kami boleh pergi rumah ke rumah tanpa had, tetapi sekarang, hanya boleh melakukannya antara lapan hingga 10 buah rumah sahaja sehari. 

“Tidak hanya mengehadkan 10 buah rumah sahaja dalam sehari, malah, turut terpaksa mengehadkan masa satu jam sahaja untuk setiap rumah,” katanya di sini hari ini.

Meskipun begitu, menurut Yu Man, itu pun sudah memadai bagi mereka kerana dengan kembalinya Tarian Singa ini, secara tidak langsung memeriahkan perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Triang memberitahu, Tarian Singa ini adalah tradisi turun-temurun yang diamalkan dalam masyarakat Cina setiap kali menjelang musim perayaan itu. 

Katanya, Tarian Singa dipercayai dapat memberikan tuah kepada seorang sekiranya tarian itu dilakukan di rumah mereka kerana dikatakan dapat menghalau segala aura-aura negatif.

“Berdasarkan kepercayaan masyarakat Cina dahulu, wujudnya raksasa yang kerap mengganggu kehidupan mereka dan Tarian Singa ini dipercayai dapat menghalau raksasa tersebut.

“Bukan sahaja tarian, tapi bunyi mercun juga mampu menakut-nakutkan raksasa itu. Sebab itu, setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina, kita selalu tengok memang akan ada tarian ini bagi memastikan seseorang itu terselamat dari gangguan-gangguan tersebut.

“Itu adalah kepercayaan kami, dan sehingga kini menjadi tradisi turun-temurun. Jadi, bila tarian singa ini kembali beraksi pada tahun ini, ia sememangnya menggembirakan masyarakat Cina di sini,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, setiap persembahan yang dilaksanakan adalah mengikut aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang dititikberatkan sepanjang masa demi keselamatan ahli serta tuan rumah. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya