Subsidi stabilkan harga ayam, telur menjelang Ramadan, Aidilfitri - Utusan Malaysia

Subsidi stabilkan harga ayam, telur menjelang Ramadan, Aidilfitri

KERAJAAN kesal dan kecewa terhadap tindakan beberapa syarikat yang menghentikan bekalan ayam sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan harga dan kekurangan bekalan di pasaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Keputusan kerajaan memberi subsidi harga ayam dan telur kepada penternak sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) secara langsung dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung mereka ekoran kenaikan kos rantaian bekalan kebelakangan ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Datuk Jeffrey Ng berkata, langkah menang-menang itu tepat pada masa masanya terutama menjelang bulan puasa Ramadan dan perayaan Aidilfitri tidak lama lagi yang sering berlakunya kenaikan harga barangan ekoran peningkatan tinggi dalam kalangan rakyat.

Katanya, meskipun skim itu merupakan langkah singkat, ia dapat mengurangkan beban kos sara hidup penternak dan rakyat yang kini terbeban kenaikan harga barangan khususnya ayam dan telur yang merupakan barangan keperluan asas.

“Mengikut logiknya, pemberian subsidi kepada penternak dapat mengurangkan harga ayam dan telur ayam apabila mekanisme itu dapat meredakan beban kos rantaian sebelum dijual kepada para pengguna.

“Walaupun berlangsung tempoh singkat, ia tepat pada masanya di saat kenaikan harga kedua-dua barangan itu selepas sambutan Tahun Baharu Cina dan menjelang bulan Ramadan serta Syawal tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Kabinet bersetuju memberi subsidi harga ayam dan telur ayam kepada penternak sepanjang tempoh pelaksanaan SKHKM.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, penternak akan menerima subsidi 60 sen sekilogram bagi ayam hidup dan ayam bulat serta 5 sen bagi sebiji telur ayam tanpa mengira kategori.

Menurut beliau, Jemaah Menteri bersetuju memberi subsidi kepada penternak ayam sebanyak RM0.60 sekilogram dengan mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90 sekilogram, dan harga runcit ayam bulat standard sebanyak RM8.90 sekilogram.

Dalam pada itu, Jeffery berkata, kerajaan perlu menyegerakan pemberian dan penyaluran subsidi tersebut agar bayaran diterima dapat membantu penternak melunaskan pelbagai kos ditanggung selama ini.

Selain itu, Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Halim Husin pula meminta kerajaan mempercepatkan usaha mengimport ayam dan telur bagi menampung bekalan stok yang meruncing di pasaran sehingga menimbulkan keluhan dalam kalangan pengguna dan penjual.

Katanya, perkara itu sepatutnya berlaku pada tiga bulan lepas bagi mengelakkan kesan berganda pada masa akan datang.

“Selain itu, kerajaan perlu memikirkan langkah jangka panjang terhadap kenaikan harga ayam dan telur ayam akibat masalah kos bahan mentah ternakan ayam seperti jagung dan dedak yang mendapat permintaan tinggi di peringkat global di samping kejatuhan nilai mata wang ringgit,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya