SOP baharu umrah: Motac atur sesi latihan dengan syarikat pengendali umrah - Utusan Malaysia

SOP baharu umrah: Motac atur sesi latihan dengan syarikat pengendali umrah

Sebahagian jemaah umrah yang berangkat ke tanah suci untuk menunaikan umrah di KLIA, Sepang baru-baru ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) sedang mengatur sesi Training for Trainers (TOT) kepada semua syarikat pengendali umrah berlesen mengenai pemakaian prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi umrah.  

Motac dalam kenyataannya memaklumkan, sesi tersebut akan dijalankan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM). 

“Mereka seterusnya bertanggungjawab untuk memberikan taklimat penerangan kepada jemaah di bawah kendalian mereka sebelum berlepas mengerjakan umrah,” katanya di sini hari ini. 

Berdasarkan pelaksanaan SOP baharu umrah dikuatkuasakan bermula 14 Februari ini yang dipersetujui Mesyuarat Ke-12 Menteri Kuartet Covid-19 pada 8 Februari lalu, syarikat pengendali umrah perlu melantik Person In Charge (PIC) bagi kumpulan yang mempunyai 40 jemaah dan ke atas untuk mengawal atau mengelola jemaah sepanjang perjalanan termasuk semasa di lapangan terbang atau Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Malaysia. 

Bagi kumpulan yang kurang daripada 40 jemaah, PIC perlu menguruskan jemaah di PMA, manakala tatacara pengurusan dan bagaimana untuk memohon kebenaran PIC untuk masuk ke ruang PMA di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dimaklumkan kemudian melalui persatuan-persatuan pengendali umrah.

Selain itu, mewajibkan dos penggalak serta membenarkan menjalani kuarantin wajib di tempat kediaman tanpa memohon kelulusan Home Quarantine Application (HQA), tetapi jemaah dibenarkan menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin swasta dengan kos penginapan, makan minum dan rawatan ditanggung sendiri.

Dalam pada itu, kenyataan itu menyebut, jemaah umrah yang melaksanakan perjalanan mengerjakan ibadah tersebut di dalam tempoh 8 Februari  hingga 13 Februari boleh mengguna pakai tatacara SOP sebelum ini. 

“Penggunaan SOP baharu akan mula diterima pakai sebaik sahaja jemaah kembali semula ke Malaysia. Ini termasuklah menjalani kuarantin di rumah secara automatik kecuali yang memilih untuk kuarantin di pusat kuarantin swasta.

“Bagi jemaah-jemaah yang telah memulakan perjalanan dan yang bakal memulakan perjalanan umrah, MOTAC mengucapkan selamat mengerjakan umrah dan yang paling utama adalah untuk sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia dan Arab Saudi,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN