IPOH: Sebanyak RM12 juta diperuntukkan bagi kerja membaiki jalan yang tidak sempurna di sekitar bandar raya ini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, kerja membaik pulih dan penurapan jalan melibatkan 67 lokasi yang akan dijalankan secara berperingkat bermula pada pertengahan Mac hingga Julai ini.
Menurutnya, kerja penurapan melibatkan 67 lokasi melibatkan jalan sepanjang 56 kilometer melibatkan jalan utama di kawasan bandar raya, pusat bandar, perumahan dan industri.
“Usaha membaik pulih jalan ini selepas Majlis Bandar Raya Ipoh (MBI) menerima aduan dari pelbagai pihak berhubung jalan rosak di sekitar bandar raya.
“Kerosakan jalan di merata tempat bandar raya ini menimbulkan ketidakselesaan pengguna, lalu lintas dan mengancam keselamatan.
“Kajian mendapati antara punca jalan bermasalah juga disebabkan perubahan cuaca dan taburan hujan yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Rumaizi, isu yang dibangkitkan melibatkan kerosakan jalan seperti lubang, jalan beralun, tampalan jalan oleh agensi utiliti yang tidak sempurna dan kerosakan akibat banjir, takungan air dan sebagainya.
Beliau berkata, Jabatan Kejuruteraan MBI telah mengenal pasti jalan-jalan yang perlu dinaik taraf dan diturap semula.
Katanya, ini bagi menjamin keselamatan pengguna lalu lintas berdasarkan kepada keutamaan dan peruntukan yang diperoleh.
“Tanggungjawab untuk melaksanakan kerja penurapan ini dijalankan pihak konsesi iaitu syarikat Puncak Emas Infra Sdn. Bhd. melalui peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan raya Malaysia (Marris),” katanya.
Rumaizi berkata, kerja penurapan semula berkenaan akan mengambil masa dan penduduk diharap dapat bersabar.
“Saya mohon warga Ipoh untuk memberi kerjasama semasa proses membaikpulih dijalankan.
“Ini kerana berkemungkinan terdapat gangguan lalu lintas seperti penutupan sebahagian lorong ataupun lencongan yang tidak dapat dielakkan semasa pelaksanaan kerja,
“Usaha ini diharap akan meningkatkan lagi kualiti jalan dan keselesaan penduduk,” katanya. –UTUSAN ONLINE