PUTRAJAYA: Kerajaan kini sedang mempertimbangkan cadangan untuk memberikan kad warga asing kepada rakyat tanpa kewarganegaraan di Sabah.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS) di sini, hari ini.
Hamzah berkata, cadangan pengeluaran kad warga asing itu dikemukakan Kerajaan Negeri Sabah kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menurutnya, kerajaan negeri mencadangkan supaya semua orang yang berada di Sabah mempunyai identiti atau berdokumen sekali gus membolehkan keberadaan golongan ini dikesan.
“Cadangan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa teknikal yang turut disertai kerajaan negeri, KDN, ahli politik dan ketua masyarakat di Sabah.
“Kami merasakan ia satu cadangan yang baik dan punca kuasa yang ada pada Menteri Dalam Negeri boleh keluarkan kad warga asing itu. Kita lakukan ini atas dasar sikap perikemanusiaan dan kita tidak mahu masalah ini akan lebih teruk pada masa depan,” katanya.
Hamzah bagaimanapun menegaskan, kerajaan bukan memberikan mereka ini taraf kewarganegaraan sebaliknya ia hanya satu bentuk pengenalan diri.
Beliau berkata, difahamkan, golongan ini sudah lama menetap di Sabah, malah sudah mencapai empat generasi.
“Masalah penduduk tanpa warganegara di Sabah ini sangat sulit kerana ada antaranya sudah menetap di negeri itu selama 30 tahun.
“Jika kita mahu hantar ke negara asal, mereka pun tidak tahu siapa keturunan dan waris keluarga mereka di sana,” katanya.
Katanya, jika mereka diberikan kad warga asing kelak, mereka ini boleh menyumbang sebagai guna tenaga kerja.
Pada masa sama, katanya, KDN juga akan mengemas kini jumlah sebenar golongan berkenaan di Sabah dan proses berkenaan dijangka mengambil masa selama tiga bulan.
Dalam pada itu, Hamzah berkata, mesyuarat (JKPWAS) turut bersetuju supaya operasi bersepadu membanteras kebanjiran pendatang tanpa izin (PATI) di Sabah terus diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negeri Sabah.
Selain itu, katanya, JKPWAS bersetuju supaya cadangan penempatan semula masyarakat Pala’u dibentangka secara lebih lanjut di peringkat pegawai melalui sebuah Jawatankuasa Kerja. -UTUSAN ONLINE