Pulih imej perkhidmatan awam, tidak culas laksana amanah, tugas

Pulih imej perkhidmatan awam, tidak culas laksana amanah, tugas

MOHD. SHAFIQ ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sikap tidak peduli terhadap kepentingan melaksanakan perubahan atau transformasi boleh mengakibatkan perkhidmatan awam terjejas dan kumpulan penjawat awam itu sebenarnya culas dalam melaksanakan amanah.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah menegaskan, keadaan ini lebih membimbangkan apabila statistik menunjukkan kes rasuah dalam kalangan penjawat awam masih tinggi.

Sebagai contoh, katanya, pada tahun lalu, statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan jumlah penjawat awam yang ditangkap adalah 411 orang.

“Dalam hal ini, kita harus memulihkan semula imej perkhidmatan kita dengan amalan budaya kerja berintegriti dan berprestasi tinggi,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan khas amanat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam baharu di sini hari ini.

Mohd. Shafiq berkata, kepentingan itu antara empat fokus dalam menjadikankan perkhidmatan awam sebuah organisasi yang terus kekal relevan.

Beliau berkata, penjawat awam hendaklah mempunyai daya ketahanan tinggi, anjal, tangkas dan berinovasi selain melengkapkan sifat-sifat tersebut dengan nilai integriti iaitu fokus pertama demi menyegar semula penjawat awam.

Kesejahteraan rakyat

Menurutnya, menerusi fokus pertama tersebut, penjawat awam hendaklah berpaksi kepada rakyat dan berfikiran realistik serta sentiasa bersedia untuk menyelesaikan pelbagai masalah merentas kementerian dan agensi demi kesejahteraan rakyat.

“Justeru, amalan ini akan dapat meningkatkan nilai tambah dan produktiviti perkhidmatan awam dan meningkatkan kepercayaan rakyat.

“Pendekatan ini menggesa kita semua untuk mengambil apa-apa tindakan dengan pantas dan tidak berlengah. Selain itu, bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan sentiasa berkesan dan menepati keperluan semasa, kita hendaklah mengambil amalan dan praktis terbaik dari dalam dan luar negara untuk dijadikan panduan,” katanya.

Mohd. Shafiq berkata, perkhidmatan juga perlu disampaikan dalam bentuk dinamik dan tidak rigid di samping memanfaatkan perkembangan teknologi semasa seperti platform digital selaras dengan inisiatif MyDigital.

Beliau berkata, menerusi fokus kedua iaitu landskap baharu organisasi awam, fungsi yang tidak lagi relevan hendaklah dijumudkan bagi membolehkan kita melaksanakan perkhidmatan dengan lebih berkesan berpaksikan objektif penubuhan organisasi itu sendiri.

“Perlu dipastikan segala dasar dan peraturan yang dikeluarkan bertepatan dan relevan sepanjang masa. Bagi agensi pusat seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), semua dasar dan peraturan yang dikeluarkan perlulah berteraskan keperluan sebenar pelanggan dan berbentuk konsensus.

Libat urus

“Malah, semua pekeliling sedia ada perlu segera dikaji semula sama ada masih boleh dilaksanakan dalam perspektif semasa. Sesi libat urus yang dilaksanakan di peringkat awal pembangunan dasar akan dapat memastikan tidak timbul sebarang isu selepas dasar itu diperkenalkan,” ujarnya.

Berhubung fokus ketiga, Mohd. Shafiq berkata, penjawat awam hendaklah bersiap siaga dan membuat persediaan rapi melalui platform perkhidmatan yang kukuh, holistik dan kalis masa hadapan.

“Untuk mencapai matlamat ini, kita juga memerlukan keterangkuman idea dan jalinan kerjasama daripada semua pihak termasuklah pihak kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan dan pelbagai organisasi Community-Based.

“Malaysia pernah menjadi negara perdagangan ke-16 terbesar di dunia, namun rekod terkini pada tahun 2020 menunjukkan Malaysia turun ke kedudukan nombor 24. Jika kita tidak melakukan sebarang perubahan, daya saing negara akan terus menurun,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya