PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi bukanlah individu yang layak untuk mendesak Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan.
Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Senator Datuk Razali Idris menegaskan demikian, ini kerana Mohd. Puad disifatkannya sebagai bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang gagal sehinggakan UMNO/Barisan Nasional (BN) tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
“Dia juga gagal dan kalah di Batu Pahat.
“Dia juga salah seorang pendesak supaya diadakan PRU15. Itulah siapa sebenarnya Mohd. Puad Zarkashi,” katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.
Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, Mohd. Puad menggesa Muhyiddin meletakkan jawatan selepas kenyataannya berhubung pembukaan sempadan negara dilihat bercanggah dengan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyatakan belum sesuai berbuat demikian ekoran peningkatan kes Covid-19..
Muhyiddin sebelum ini mengesyorkan sempadan negara dibuka sepenuhnya untuk semua negara seawal 1 Mac ini tanpa keperluan kuarantin wajib.
Razali menjelaskan, beliau simpati dengan tindakan Mohd. Puad yang terpaksa membuat kenyataan menghentam Muhyiddin yang merupakan Presiden Bersatu sedemikian semata-mata mahu kehadirannya dalam UMNO dan kalangan rakyat tidak dilupakan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.
Dakwanya, berdasarkan rekod prestasi, Mohd. Puad yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO sudah lama ditolak oleh pengundi dan rakyat.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua Bersatu Bahagian Marang menasihati rakyat terutama di Johor agar menilai sendiri kredibiliti Mohd. Puad. – UTUSAN ONLINE