Projek cili tanaman asnaf ditenggelami banjir - Utusan Malaysia

Projek cili tanaman asnaf ditenggelami banjir

SEORANG petani asnaf menunjukkan polibeg mengandungi anak pokok cili yang rosak ditenggelami air di Desa Alam Shah, Kampung Jenarah, Pasir Puteh, hari ini. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Seramai 20 peserta Program Penempatan Semula Asnaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) di Desa Alam Shah, Kampung Jenarah, di sini kerugian lebih RM200,000 apabila kebun cili mereka ditenggelami air sejak tiga hari lalu.

Mereka merupakan peserta ladang kontrak penanaman cili kulai secara fertigasi seluas tiga hektar di bawah kendalian Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bukit Awang untuk dibekalkan kepada Nestle (M) Berhad.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penyelia penempatan itu, Wan Muhd. Isamuddin Wan Othman berkata, bulan ini, sudah dua kali musibah bencana alam menimpa para peserta program tersebut.

Menurutnya, pada 16 Februari lalu, kawasan itu ditenggelami air banjir kilat dan menjejaskan kebun milik 11 peserta.

“Kali ini, sebanyak 24,000 polibeg mengandungi anak pokok cili berusia tiga minggu ditenggelami air banjir. Bah di luar jangkaan kali ini memusnahkan semua anak benih, bahan medium tanaman serta baja.

“Peserta menggunakan wang tabungan bagi menampung kos pengurusan penanaman teruk terkesan apabila dua kali ditimpa musibah dalam tempoh dua minggu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Muhd. Isamuddin berkata, kejadian itu sudah dimaklumkan kepada Maik dan PPK Bukit Awang untuk tindakan lanjut termasuk penyaluran bantuan bagi meringankan beban para peserta.

Menurutnya, sekiranya tidak ditimpa musibah dan program itu berjalan lancar, hasil tuaian cili dijangka mencecah RM240,000 semusim, sekali gus menjana pendapatan purata sebanyak RM1,200 sebulan bagi setiap peserta.

Sementara itu, seorang peserta, Marzuki Zailani Muda, 49, berkata, penanaman cili sudah dibuat mengikut jadual yang ditetapkan namun perubahan cuaca tidak menentu ketika ini menjadi ujian besar kepada mereka.

“Selain mengusahakan cili secara fertigasi sebanyak 1,300 polibeg saya juga mengusahakan tanaman jagung yang turut ditenggelami air banjir.

“Hujan yang masih belum berhenti ketika ini memberi petanda kami akan menanggung kerugian besar pada musim ini. Kos pembelian polibeg, medium tanaman dan juga baja sekarang hangus begitu sahaja,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya