PUTRAJAYA: Ribuan penduduk Taman Rimba di Mentakab, Pahang dapat menarik nafas lega apabila Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berakhir sebagaimana diumumkan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad.
Taman perumahan dalam Daerah Temerloh itu dilaksanakan PKPD buat kali ketiga selama tempoh 14 hari bermula pada 7 Februari lalu susulan penularan kes Covid-19 di tempat kerja dan mencetuskan Kluster Jalan Maran Batu Satu diumumkan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang pada 24 Januari lalu dengan sejumlah 75 kes direkodkan.
Kawasan perumahan berkenaan pernah dikenakan PKPD sebanyak dua kali tahun lalu iaitu buat julung kali dari 22 Jun sehingga 5 Julai dan kemudian lagi dari 8 Ogos sehingga 21 Ogos.
Ketika ini, Pejabat Kesihatan Daerah Temerloh mencatatkan sejumlah 13 kluster di daerah itu merangkumi 10 kluster pendidikan, dua kluster tempat kerja dan baki satu kluster komuniti dan kesemuanya sudah merekodkan kumulatif sebanyak 451 kes positif dengan terbaharu Kluster Temerloh Jaya yang diumumkan oleh jabatan itu semalam dengan 20 kes baharu dilaporkan.
Dalam pada itu, Rodzi turut memaklumkan bahawa tiada lokaliti baharu dilaksanakan PKPD, sekali gus hanya tinggal tiga skim Felda di Raub, Pahang yang bakal tamat 28 Februari ini meliputi Felda Tersang 1, 2 dan 3 dalam Mukim Batu Talam yang dikenakan PKPD pada 2 Februari lalu sebelum dilanjutkan lagi selama tempoh 14 hari bermula dari 15 Februari lepas. –UTUSAN ONLINE