KUCHING: Pesta Babulang Bisaya yang popular dengan perlumbaan kerbaunya akan diubah suai penganjurannya tahun ini bagi disesuaikan dengan perkembangan terkini kes Covid-19 yang meningkat semula sejak kebelakangan ini.
Selepas tidak diadakan selama dua tahun, Presiden Persatuan Bisaya Sarawak, Joseph Blandoi berharap ia dapat diadakan sama ada secara fizikal, maya atau hibrid.
Katanya, mesyuarat majlis tertinggi persatuan itu baru-baru ini telah menetapkan perayaan kaum Bisaya dan perlumbaan kerbau sebagai antara acara utama dalam kalendar aktivitinya tahun ini.
Menurut Joseph, sejak wabak Covid-19 dua tahun lalu banyak aktiviti sama ada telah ditangguhkan atau dibatalkan termasuk sambutan ulang tahun ke-50 persatuan berkenan pada tahun lepas.
“Selepas dipertimbangkan, penganjuran seperti ini boleh dilakukan dengan teknologi yang ada pada masa kini.
“Beberapa acara yang merupakan bahagian biasa perayaan boleh dibahagikan dan diadakan secara meluas sepanjang tahun.
“Pilihan sedemikian tidak dapat dielakkan untuk mengelakkan kesesakan yang berlebihan bagi mematuhi prosedur operasi standard kesihatan (SOP),” katanya.
Bagaimanapun Joseph menambah, acara utama seperti lumba kerbau, pertunjukan pentas malam kebudayaan dan “Panakod Babulang” (penerimaan Tetamu Kehormat) akan diadakan dari 3 hingga 5 Jun.
“Acara-acara ini sangat popular di kalangan pelancong dari Brunei, Labuan dan Sabah dan juga Sarawak sendiri,” tambah beliau.
Joseph berkata, aktiviti lain yang dibarisi ialah perasmian bangunan persatuan, seminar dan bengkel pembangunan, “Rakit Babulang”, pertandingan golf amal Babulang, larian riadah dan majlis makan malam penghargaan tahunan. -UTUSAN ONLINE