Peningkatan kanak-kanak dijangkiti Covid-19 membimbangkan  - Utusan Malaysia

Peningkatan kanak-kanak dijangkiti Covid-19 membimbangkan 

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia mencatat sebanyak 50,826 kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dijangkiti Covid-19 sekali gus menyebabkan penggunaan katil harian pesakit bagi golongan itu, semakin meningkat seiring dengan kenaikan kes di dalam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah peningkatan jangkitan dalam kalangan kanak-kanak itu dapat dilihat bermula awal Januari sehingga hari ini dengan majoritinya berada dalam kategori dua.

Katanya, peningkatan dilihat lebih ketara dalam bulan ini terutama bagi kategori dua hingga kategori lima.

“Bagi kategori satu, 15,817 kes (31.12 peratus); kategori dua, 34,857 kes (68.58 peratus); kategori tiga, 120 kes (0.24 peratus); kategori empat, 28 kes (0.006 peratus) dan kategori lima, hanya empat kes (0.001 peratus). 

“Peningkatan jangkitan mungkin disebabkan penularan varian Omicron serta peningkatan pergerakan kanak-kanak dalam komuniti susulan pembukaan semula sesi persekolahan, pusat jagaan kanak-kanak dan bayi, lalu menyebabkan risiko pendedahan kanak-kanak kepada jangkitan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, meskipun gejala jangkitan dalam kalangan kanak-kanak kebiasaannya kurang serius berbanding dewasa, namun, terdapat juga kes-kes yang memerlukan rawatan di hospital dan sebilangannya memerlukan rawatan intensif di unit rawatan rapi (ICU).

Katanya, antara gejala yang sering dialami kanak-kanak yang dijangkiti adalah batuk dan selesema berterusan melebihi seminggu, bernafas laju, kurang aktif, kurang selera makan, demam yang berterusan, dan muntah atau cirit birit. 

“Dalam keadaan yang lebih serius, kanak-kanak boleh mengalami sakit dada atau sakit perut, kurang tahap kesedaran dan juga sawan. 

“Malah, kumpulan kanak-kanak yang berisiko tinggi untuk mengalami jangkitan yang serius adalah golongan pesakit kanak-kanak yang mempunyai penyakit paru-paru kronik, penyakit jantung, lemah sistem imun badan, kencing manis, sedang menjalani rawatan menggunakan steroid seperti pesakit autoimun dan transplan, kanser, asma dan obesiti,” katanya. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara kaedah utama bagi mengurangkan risiko ini adalah dengan kawalan kendiri dan juga vaksinasi, malah, vaksin Covid-19 Comirnaty® (Pfizer-BioNTech) telahpun diluluskan penggunaannya untuk kanak-kanak lima sehingga 11 tahun di Malaysia. 

“Dari kajian klinikal, keberkesanan vaksin ini adalah sebanyak 91 peratus serta berupaya untuk meningkatkan tindak balas imun yang tinggi terhadap penyakit Covid-19 sekali gus mengurangkan risiko penyakit Covid-19 yang serius,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya