Pengunjung terlalu ramai punca deretan khemah di Telok Kemang - Utusan Malaysia

Pengunjung terlalu ramai punca deretan khemah di Telok Kemang

DERETAN khemah-khemah sewaan yang dipasang di Pantai Telok Kemang, Port Dickson menimbulkan rungutan kepada pengunjung yang hadir untuk berkelah di pantai berkenaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jumlah pengunjung yang terlalu ramai sepanjang cuti perayaan Tahun Baharu Cina sejak Jumaat lalu menyukarkan penguat kuasa mengambil tindakan dalam isu Pantai Telok Kemang di sini yang dipenuhi khemah-khemah sewaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menjelaskan, pihaknya ambil maklum mengenai terdapatnya rungutan orang ramai  ekoran banyak khemah sewaan yang dipasang sepanjang pantai berkenaan sehingga mengganggu kehadiran pengunjung yang lain.

“Panduan sudah diberikan dan pihak Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) sebelum ini telah membuat makluman serta berbincang dengan pengusaha sewaan khemah tersebut. Saya juga sudah berjumpa mereka dan mereka telah berjanji untuk menghadkan jumlah sewaan khemah.

“Bagaimanapun, apabila pengunjung terlalu ramai, sambutan untuk khemah tersebut juga menggalakkan dan mereka terus langgar janji tersebut. Mungkin inilah peluang untuk mereka dapatkan sedikit pendapatan.

“Kerajaan negeri memang tidak membenarkan kawasan pantai dijadikan tempat perkhemahan. Penguatkuasaan pada hari tersebut memang sukar dengan jalan yang sesak dan orang yang ramai, ia akan undang lebih banyak masalah jika diambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pertemuan Mesra Tahun Baharu Cina 2022 nnjuran Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan di sini hari ini.

Tular dalam media sosial rungutan seorang pengunjung Pantai Telok Kemang, Port Dickson baru-baru ini yang kecewa kerana deretan khemah yang dipasang sepanjang pantai tersebut telah menghalang pemandangan laut selain merimaskan.

Sementara itu, Aminuddin berkata, selepas ini, kerajaan negeri dan MPPD akan bertindak tegas dan memastikan syarat yang telah ditetapkan kepada pengusaha khemah tersebut dapat diikuti.

“Kami memang tidak mahu kawasan pantai dijadikan kawasan perkhemahan sebegitu, perhatian serius dan tindakan akan diambil selepas ini, kami akan hadkan jumlah khemah bagi setiap individu (pengusaha) yang berdaftar,” katanya.

Difahamkan, aktiviti sewaan khemah atau payung dibenarkan beroperasi berdasarkan permintaan pelanggan sahaja dan selepas khemah ini digunakan pengusaha harus menyimpan semula dan tidak meninggalkan khemah di kawasan pantai setelah habis beroperasi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya