PONTIAN: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut yang disandang Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad antara kerusi yang menjadi tumpuan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.
Hasni yang sudah diumumkan Barisan Nasional (BN) sebagai calon Menteri Besar sekiranya gabungan itu memperoleh mandat sekali lagi dilihat menarik minat parti-parti lain meletakkan calon menyainginya.
Beliau yang bertanding untuk penggal keempat akan ditentang oleh tiga pemimpin utama di peringkat bahagian Pontian iaitu Datuk Isa Ab. Hamid yang mewakili Perikatan Nasional (PN), Haniff @ Ghazali Hosman daripada PKR dan tokoh perbankan, Noor Iskandar Ibrahim dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Ketika ditemui selepas proses penamaan calon, Hasni berkata, beliau telah bersedia bertanding kali ini walaupun melibatkan saingan empat penjuru di kerusi berkenaan.
Kata beliau, daripada pengalaman sebelum ini, PRN Johor merupakan paling ramai yang turut bersaing di DUN Benut yang sebelum ini hanya melibatkan pertandingan dua penjuru.
“Berdasarkan kepada suasana di pusat penamaan calon, kita dapat melihat proses demokrasi berjalan lancar dengan kesemua calon mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
PATUHI ARAHAN SPR
“Dalam tempoh dua minggu ini semua pihak perlu mematuhi kempen-kempen yang dibenarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” ujarnya.
Tambah Hasni, BN Johor telah menyusun atur gerak kerja mereka dan kini telah sampai ke tahap persiapan terakhir bagi memastikan gabungan itu dapat memenangi PRN Johor kali ini.
“Kami berharap mereka dapat bergerak lebih aktif selepas ini dan menyusun program yang dapat mendekati ramai pengundi di DUN masing-masing termasuk pengundi 18 tahun ke atas,” ujarnya.
Ditanya sama ada pertandingan empat penjuru kali ini merupakan usaha untuk menyekat kemenangan BN di Benut, Hasni memberitahu, semua parti diberikan ruang dan peluang bertanding sejajar dengan suburnya demokrasi di negara ini.
“Kami tidak melihat ia usaha mana-mana pihak untuk menghalang kemenangan BN dan UMNO, malah pengundi sebenarnya yang akan menentukan pilihan mereka kelak,” jelasnya. – UTUSAN