KUALA TERENGGANU: Masalah gangguan bekalan telur yang masih berlarutan sehingga kini menyebabkan kalangan pemborong di daerah ini terpaksa menjual barangan berkualiti rendah kepada orang ramai.
Pemilik Ming Feng Wholesales Sdn. Bhd., Jason Tan berkata, walaupun telur bergred E dan F kotor, tetapi tetap menjadi pilihan pelanggan termasuk para pengusaha kedai makan.
Katanya, ketika ini sebanyak 4,000 papan telur pelbagai gred diberikan pembekal di Melaka dan Selangor dalam tempoh tiga kali seminggu.
“Pihak pembekal beri apa sahaja yang ada termasuk telur kotor, telur putih atau yang bergred. Jadi, pelanggan kita termasuk pemilik kedai makan pun terpaksa terima asalkan bekalan ada,” katanya ketika ditemui di kilangnya di Kampung Gong Kiat di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia mengesahkan 30 peratus pasar raya utama di negeri ini terputus bekalan telur.
Jason berkata, sebagai langkah berjimat-cermat dia hanya menjual 2,000 biji telur setiap hari bagi mengelak terputus bekalan.
Katanya, walaupun ada pelanggan yang menempah sehingga lebih 150 papan telur sehari, namun permintaan itu tidak dapat dipenuhi bagi memastikan bekalan sentiasa ada. -UTUSAN ONLINE