KOTA BHARU: Sesi persekolahan secara bersemuka sejak Kelantan beralih kepada Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) merupakan antara faktor peningkatan kes Covid-19 melibatkan kluster pendidikan di negeri ini.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zaini Husin berkata, sesi sekolah secara bersemuka itu menyebabkan pelajar terdedah kepada persekitaran yang mencetuskan penularan Covid-19 terutama varian Omicron.
Selain itu, kata beliau, kes Covid-19 melonjak tinggi di Kelantan juga disebabkan pergerakan orang ramai yang didapati terlalu bebas selepas sektor pelancongan dan rentas negeri dibenarkan.
“Peningkatan kes kluster pendidikan juga berlaku kerana kebanyakan masyarakat di negeri ini berkumpul bersama sanak-saudara dan sahabat-handai semasa cuti perayaan baru-baru ini.
“Kita sebenarnya sudah menjangkakan ada peningkatan kes terutama kluster pendidikan apabila sektor ekonomi kembali dibuka sepenuhnya baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dr. Zaini dalam pada itu menggesa orang ramai supaya tidak alpa dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan selain mengelak berkumpul beramai-ramai di tempat yang sesak.
Akhbar hari ini melaporkan Kelantan mencatatkan bilangan kluster pendidikan tertinggi dengan 54 kluster atau 14.71 peratus daripada 367 kluster pendidikan yang dilaporkan bermula 1 Januari lalu hingga 19 Februari.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, Selangor berada di kedudukan kedua tertinggi iaitu 49 kluster diikuti Pahang (38 kluster), Kuala Lumpur (37 kluster) dan Sabah (34 kluster). –UTUSAN ONLINE