Melaka perlu bina sebuah marina - Utusan Malaysia

Melaka perlu bina sebuah marina

SULAIMAN Md. Ali (enam dari kanan) menyerahkan surat penyerahan sebuah bot untuk membantu mangsa banjir kepada wakil Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka di kilang Seafarer Explorer di Pulau Gadong, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri merancang membina sebuah marina bagi menarik minat pemilik kapal layar dari seluruh dunia menjadikan Melaka sebagai destinasi baharu selain di Langkawi, Kedah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, bagi tujuan tersebut, beliau mempelawa mana-mana syarikat untuk datang ke negeri ini bagi melihat lokasi yang sesuai untuk tujuan pembinaan tersebut.

Menurutnya, Melaka amat sesuai untuk pembinaan marina kerana mempunyai pesisir pantai, selain menjadikan ia sebagai salah satu produk pelancongan baharu dalam kalangan pemilik kapal layar.

“Kita ada marina di Muara Sungai Melaka, tetapi, ia terlalu kecil dan tidak sesuai untuk kapal layar berlabuh.

“Justeru, saya melihat Melaka perlu ada sebuah marina baharu sehebat yang wujud di Langkawi. Kita boleh lihat banyak kapal layar berlabuh di situ yang kebanyakkan pemiliknya datang dari setiap pelosok dunia.

“Syarikat-syarikat swasta perlu datang ke Melaka untuk meneroka lokasi-lokasi yang sesuai untuk dijadikan sebuah marina,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan kilang Explorer Composite Sdn. Bhd. di Pulau Gadong di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Datuk Azmi Hussain dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Seafarer Explore, Mike Thein.

Sulaiman berkata, kerajaan negeri tidak boleh menetapkan lokasi untuk dijadikan marina, memandangkan syarikat-syarikat berpengalaman lebih arif untuk menilai aspek kedalaman laut dan laluan sebelum menentukan tempat yang sesuai.

Mengenai pantai di Klebang, beliau berkata, satu kajian terperinci perlu dilakukan untuk memastikan kesesuaian.

Sementara itu, beliau turut memuji usaha anak kelahiran Melaka yang berjaya membuka sebuah kilang membina bot fiberglass yang terkenal di seluruh negara.

“Kumpulan Seafarer Explorer cukup terkenal dalam pembuatan bot fiberglass dan sudah tiba masanya kilang ini perlu diperbesarkan dan berpindah ke lokasi lain di pesisiran pantai,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya