SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerima sebanyak 694 permohonan lot Bazar Ramadan daripada peniaga setakat ini.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, permohonan secara dalam talian itu diterima pihaknya sehingga 31 Januari lalu.
Katanya, permohonan bagi pengeluaran permit bazar kini masih dibuka sehingga 16 Februari depan.
“Ia dibuka sejak 17 Januari lalu menerusi laman sesawang eBazar MBSA iaitu https://bazar.mbsa.gov.my. Orang ramai perlu mengisi borang permohonan itu dan memuat naik salinan dokumen lengkap sebelum proses pendaftaran dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Shahrin, pemohon yang mahu mendapatkan maklumat atau pertanyaan lanjut mengenai permit Bazar Ramadan boleh menghubungi Jabatan Pelesenan MBSA.
“Orang ramai boleh menghubungi jabatan itu menerusi talian 03-55105133 sambungan 1700/1762/1486/1699/1317/1366,” katanya.
Tambah Shahrin, pihaknya kekal menyediakan sebanyak 33 lokasi tapak Bazar Ramadan di seluruh kawasan pentadbiran MBSA pada tahun ini.
“Lokasi tapak berkenaan antaranya di sekitar Seksyen 6, 7, 8, 16, 17, 18, 19, 20, 24, 27, 28, 31, 33 dan 35.
“Selain itu, ia melibatkan kawasan U2, U3, U5, U8, U10, U13, U19 dan U20,” katanya.
Kadar bayaran permit adalah dibahagikan mengikut kategori jualan iaitu minuman balang dan makanan sebanyak RM207.
Bagi makanan bergoreng, air kelapa dan tebu dan jualan berbakar, bayaran permit adalah berjumlah RM237 manakala ayam golek pula iaitu RM297. -UTUSAN ONLINE