KUALA TERENGGANU: Walaupun hujan mulai berhenti di beberapa daerah, jumlah mangsa banjir di negeri ini terus mencatatkan peningkatan mencecah 14,000 orang.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, setakat pukul 4 petang ini, kesemua 13,971 mangsa melibatkan 3,875 keluarga ditempatkan di 160 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di kesemua lapan daerah.
Katanya, dua daerah kini merekodkan mangsa banjir melebihi 3,000 orang dengan yang tertinggi di Kemaman seramai 4,420 orang diikuti Hulu Terengganu (3,696 orang),
“Di Dungun, mangsa mencecah 2,000 orang manakala di Besut pula angka menurun kepada 1,622 orang, Setiu (1,291 orang), Kuala Terengganu (614 orang), Kuala Nerus (324 orang) dan Marang (lima orang),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sekretariat itu berkata, cuaca semasa di Kuala Terengganu beransur baik pagi ini, namun di tujuh daerah lain masih lagi hujan dan mendung. –UTUSAN ONLINE