Malaysia saran Utusan Khas dari Kemboja jumpa wakil Myanmar dalam buangan - Utusan Malaysia

Malaysia saran Utusan Khas dari Kemboja jumpa wakil Myanmar dalam buangan

SAIFUDDIN Abdullah ketika menyertai sesi Pemukiman Menteri Luar ASEAN di Phnom Penh, Kemboja hari ini. – Foto ihsan Wisma Putra
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia menyarankan Kemboja selaku Utusan Khas Pengerusi ASEAN berjumpa wakil Myanmar dalam buangan bagi merungkai krisis politik negara berkenaan.

Perkara tersebut antara dibangkitkan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah ketika menghadiri sesi Pemukiman Menteri Luar ASEAN di ibu kota Kemboja, Phnom Penh, semalam.

“Dalam konteks itu, saya menyeru Utusan Khas ini untuk bertemu wakil Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG),” kata beliau pada program disertai sembilan menteri luar serantau tersebut.

Sesi pemukiman itu dipengerusikan oleh Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, Prak Sokhon dan turut dihadiri Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Paduka Lim Jock Hooi.

Dengan bertemakan ‘ASEAN ACT’ atau Addressing Challenges Together, tiada wakil rasmi dari Myanmar hadir termasuk Menteri Luarnya, Wunna Maung Lwin pada sesi dua hari itu.

Mengulas lebih lanjut, Saifuddin berkata, saranan itu susulan perancangan Prak yang juga Timbalan Perdana Menteri Kemboja melawat Myanmar bulan depan bertemu junta Myanmar.

Ini merupakan lawatan susulan yang kedua melibatkan pemimpin tertinggi Kemboja selepas Perdana Menterinya, Hun Sen pada awal bulan lalu namun mendapat kritikan antarabangsa.

Malaysia turut mengecam lawatan itu sebagai memberi mesej salah bahawa ASEAN di bawah Kemboja selaku Pengerusi 2022 sudah mengiktiraf junta Myanmar yang merampas kuasa.

“Kami (Malaysia) menyokong peranan dimainkan Kemboja dan mengucapkan selamat maju jaya kepada Prak dalam lawatan dicadangkan ke Myanmar pada Mac depan,” jelas beliau.

Bagaimanapun tegasnya, Malaysia mengulangi pendirian ASEAN bertindak atas prinsip perundingan dan penglibatan konstruktif dalam mencari penyelesaian secara aman di Myanmar.

Usaha ini ujarnya, termasuk penglibatan wakil NUG dan beliau memaklumkan ada menonton video ucapan secara rakaman awal ‘Menteri Luarnya’ bagi menangani kemelut negara itu.

Saifuddin juga meminta penyelesaian di Myanmar mestilah berpaksikan prinsip menghormati kehendak dan aspirasi rakyatnya serta menyatakan sokongan penuh konsensus lima perkara.

“Saya mencadangkan Prak agar bertemu Majlis Perundingan Perpaduan Negara Myanmar yang merupakan wadah dialog pelbagai kumpulan berkepentingan di negara tersebut,” tegasnya.

Organisasi itu katanya, turut disertai NUG, ahli parlimen, parti politik, badan perwakilan negeri berisifat peralihan sementara, kumpulan protes secara aman dan masyarakat sivil Myanmar.

Beliau pada masa sama, menyarankan Prak turut melihat hasil resolusi Perhimpunan Rakyat Myanmar yang sudah pun mengadakan mesyuaratnya selama tiga hari pada akhir bulan lalu. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya