PUTRAJAYA: Hubungan dengan China diperkukuh apabila negara tersebut sedia menyumbang sejumlah dua juta dos vaksin Covid-19 dikeluarkan firma Sinovac Biotech Ltd.
Berita itu dimaklumkan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah ketika berucap pada sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) hari ini.
“Saya ingin mengambil kesempatan untuk menzahirkan penghargaan kerajaan Malaysia atas sumbangan terbaharu ini yang diumumkan oleh pemerintah China baru-baru ini,” jelasnya yang berucap secara maya pada majlis tersebut yang diadakan secara hibrid dan berlangsung di Dewan Xiuhua Kuala Lumpur yang turut dihadiri Duta Besar China, Ouyang Yujing.
Awal Julai tahun lalu, China muncul antara negara asing terawal menyumbangkan sejumlah 500,000 dos vaksin itu bagi membantu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Ini diikuti sejuta lagi tambahan dos berkenaan disumbangkan akhir September tahun lepas yang dimaklumkan Menteri Luarnya, Wan Yi menerusi perbualan telefon dengan Saifuddin.
Ia hasil Perjanjian Kerjasama Pembangunan dan Aksesibiliti Vaksin dan Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Era Pasca Covid-19 yang dimeterai antara kedua-dua negara. – UTUSAN ONLINE