MAFI bantu permudah urusan birokrasi dihadapi penternak - Utusan Malaysia

MAFI bantu permudah urusan birokrasi dihadapi penternak

RONALD Kiandee (kanan) melihat sebahagian telur yang telah siap dipek untuk dipasarkan ketika melawat Ladang Ayam Telur Selasih Aman yang terletak di Kalumpang, Hulu Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyatakan komitmen untuk membantu penternak yang menghadapi masalah berkaitan pengurusan ladang yang berkaitan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ini kerana terdapat keluhan daripada penternak dari setiap negeri yang berhadapan dengan masalah pematuhan kepada perautaran-peraturan PBT yang berbeza-beza mengikut kawasan.

Menurut menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, pihaknya akan berbincang dengan pelbagai kementerian berkaitan termasuk Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Katanya, hal demikian turut memberi kesan kepada pengeluaran ayam dan telur dalam negara apabila beberapa syarat daripada PBT gagal dipenuhi selain terpaksa menanggung kos tinggi.

“Juga beberapa isu yang melibatkan PBT seperti Kebenaran Merancang (KM) dan Pelan Bangunan (PB) dalam sektor ini yang bukan sahaja tertakluk kepada MAFI, tetapi perlu perbincangan lebih lanjut bersama dengan kementerian lain terutama melibatkan kerajaan tempatan.

“Kita mendengar keluhan dan juga beberapa isu yang dikemukakan oleh pemain industri, MAFI akan mengangkat masalah ini bagi kepentingan industri penternakan keseluruhannya,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan di ladang penternak ayam penelur dan pedaging di sini hari ini.

Yang turut hadir dalam lawatan tersebut adalah Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar (Pembangunan), Dr. Suratan Kamarudin; Pengarah Perkhidmatan Veterinar Selangor, Dr. Hassuzana Khalil dan Pengerusi Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor (PPANS), Idrus Zainal Abidin.

Beliau menambah, beliau turut mendengar keluhan daripada penternak yang sukar mendapatkan pinjaman bagi menyokong perusahaan penternakan terutama melibatkan pengusaha berskala kecil.

“Beberapa isu daripada pemain dalam industri ayam penelur disuarakan seperti perlu dipercepatkan proses mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan yang menawarkan pinjaman dalam sektor agro makanan,” jelasnya.

Terdahulu, Idrus ketika dalam pertemuan bersama Ronald menyuarakan beberapa masalah dihadapi penternak khususnya mereka yang baharu menceburi bidang tersebut apabila terpaksa berhadapan dengan kos pengurusan mahal.

“Setiap kawasan berhadapan dengan situasi berbeza-beza mengikut dasar PBT masing-masing. Sebagai contoh di Selangor, penternak baharu perlu menanggung kos untuk mendapatkan KM dan PB dengan kos antara RM25,000 hingga RM40,000.

“Situasi berkenaan akhirnya menekan bukan sahaja penternak baharu, malah mereka yang belum mendapatkan kebenaran daripada PBT untuk beroperasi. Disebabkan itu juga terdapat pengusaha yang akhirnya menutup perniagaan mereka,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya