PUTRAJAYA : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menghantar surat rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memohon supaya sekolah menengah di Johor tidak digunakan sebagai pusat pembuangan undi.
Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pihaknya bimbang sekiranya sekolah menengah digunakan, ia akan mengganggu proses peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.
Beliau berkata, sebelum ini, KPM sudah menetapkan bahawa supaya sekolah menengah di Johor tidak seharusnya digunakan sebagai pusat pembuangan undi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Buat masa ini, kami masih belum menerima permohonan rasmi daripada SPR bagi tujuan penggunaan sekolah ini.
“Namun, sesi libat urus bersama guru dan pentadbir sekolah di Johor sepanjang tiga hari lalu, saya menerima banyak maklum balas.
“Mereka memaklumkan, sekolah mereka mungkin akan digunakan sebagai tempat pembuangan undi,” katanya menerusi rakaman video di laman Facebook, hari ini.
Katanya, mereka menyatakan kerisauan mereka sekiranya PRN Johor ini dilaksanakan dalam tempoh SPM 2021.
Radzi berkata, beliau menjelaskan bahawa, biarpun hari pengundian dijalankan pada hari Sabtu, namun hakikatnya ia sedikut sebanyak menjejaskan proses SPM di sekolah.
“Ada yang kata, mengapa tidak boleh boleh digunakan kerana pengundian diadakan pada hari Sabtu.
“Hakikatnya, setiausaha peperiksaan telah menyusun segala proses peperiksaan ini untuk tempoh yang panjang dan bukan sekadar menyusun meja sahaja.
“Kerana tempoh peperiksaan ini melibatkan prosedur operasi standard (SOP) baharu, dalam konteks sop baharu ini hampir semua bilik darjah akan digunakan sama ada sebagai bilik peperiksaan utama, bilik alternatif, bilik khas, pengasingan dan bilik isolas,” katanya. -UTUSAN ONLINE