RAUB: Tempoh Pelan Pemulihan Negara fasa empat memberikan nafas semula kepada ahli Persatuan Belia Pamah Rawas, Ulu Dong (PBPRUD) di sini untuk menghidupkan tradisi permainan kompang setelah ‘tidur’ hampir dua tahun berikutan penularan pandemik Covid-19.
Kelab kompang PBPRUD ditubuhkan pada 2014 ketika awalnya tertumpu kepada aktiviti berzanji (kompang hadrah) dan sebagai latar belakang muzik gendang silat cuma untuk mengisi masa lapang belia pada hujung minggu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Biro Kebudayaan dan Keseniaan PBPRUD, Mohamad Faiz Mohd. Kamal berkata, pada awalnya kelab tersebut hanya memiliki beberapa buah peralatan lama permainan itu kerana kekurangan dana untuk membeli peralatan baharu.
“Kami memperoleh semangat baharu bagi membolehkan aktiviti ini terus dihidupkan apabila Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pamah Rawas begitu prihatin apabila menyumbangkan RM1,500 untuk membeli 30 buah kompang baharu.
“Sumbangan JKKK di sini merupakan hasil daripada hadiah menggondol tempat pertama apabila Kampung Pamah Rawas muncul johan dalam pertandingan Bulan Kemerdekaan Kategori Kampung Tradisional dengan memenangi wang tunai RM2,500, manakala sebanyak RM1,500 diagihkan untuk kelab kompang ini,” katanya di Kampung Pamah Rawas Ulu Dong dekat sini semalam.
Menurut Mohamad Faiz, selain 30 buah kompang baharu, kelab terbabit juga menerima sumbangan sebuah jidor daripada seorang pengusaha kompang yang terkenal di Batu Pahat, Johor.
“Aktiviti berkompang mula rancak apabila kelab ini ditubuhkan dengan rasminya pada 20 September 2015 dikenali sebagai Kelab Kompang Belia Pamah Rawas
“Kelab ini mula aktif memeriahkan majlis keramaian, perkahwinan, bulan Kemerdekaan, persembahan kebudayaan dan sambutan bulan kebesaran Islam di kawasan Ulu Dong dan bandar Raub,” katanya.
Katanya, ahli kelab itu mengenakan busana baju Melayu, batik, A Go Go dan baju T PBPRUD, manakala paluan kompang lebih menjurus kepada rentak Idzhar.
Selanjutnya, beliau menjelaskan lagu yang diiringi paluan kompang merupakan lagu asal (tradisional) dan ada yang dicipta oleh ahli kelab itu seperti PR UP (sambut tetamu), mengarak (selawat), manakala kompang berlagu (nyanyian beramai-ramai), iaitu Assalamualaikum,
Kompang Dipalu, Direnjis-renjis, Cucak Rowo, Lemak Manis, Selamat Pengantin baru dan Sepakat Pamah Rawas.
Sementara itu, Pengerusi Belia Kampung Pamah Rawas, Nur Amin Nor Azahar berkata, tempoh dua tahun penularan pandemik Covid-19 serta penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini telah ‘mematikan’ semangat ahli kelab apabila semua aktiviti keramaian termasuk majlis perkahwinan melibatkan orang ramai berkumpul tidak dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Senario ini menyebabkan kompang tidak lagi menggamatkan dewan pada hujung minggu ketika ahli membuat latihan di samping memeriahkan majlis berkenaan di kampung ini atau jemputan luar malahan peralatan tradisional ini cuma mengisi dalam almari buat sementara.
“Ahli kelab ini juga terpaksa menangguhkan latihan berkompang sejak banjir melanda kampung ini kerana dewan dan kelab belia dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) dan kami bersyukur kerana bencana ini sudah pulih bagi membolehkan aktiviti berkompang diteruskan selepas ini, ” katanya.
Ujarnya, kebenaran berasaskan prosedur operasi standard (SOP) dan penjarakan fizikal serta amalan norma baharu MKN menghidupkan semula aktiviti berkompang kelab itu dan telahpun mengisi acara rasmi keramaian, perkahwinan dan sebagainya di peringkat Kampung Pamah Rawas, Ulu Dong. -UTUSAN ONLINE