Kes Covid-19 meningkat di Kedah - Utusan Malaysia

Kes Covid-19 meningkat di Kedah

OTHMAN WARIJO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Peningkatan kes Covid-19 di Kedah sehingga mencecah 904 kes sehari pada semalam dipercayai berpunca daripada gelombang varian Omicron.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo berkata, jumlah kes yang direkodkan itu juga merupakan tertinggi dalam tempoh empat bulan di negeri ini.

Kata beliau, negara kini sedang mengalami gelombang jangkitan varian Omicron menyebabkan peningkatan kes baharu mendadak di seluruh negara dan rantau Asia Tenggara.

“Namun begitu, laporan CovidNow semasa menunjukkan kadar pengisian katil Covid-19 hospital di Kedah adalah pada kadar 12.1 peratus, manakala kadar kematian Covid-19 ialah 14 per 10 juta penduduk.

“Kita dapat lihat dengan adanya liputan imunisasi yang tinggi, walaupun berlaku peningkatan kes Covid-19, namun, kemasukan ke hospital dan kematian adalah masih rendah dan terkawal,” jelasnya.

Othman berkata demikian di Majlis Pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini hari ini.

“Majoriti kes baharu juga dalam kategori ringan, jadi, orang dewasa digalakkan mendapatkan suntikan penggalak manakala kanak-kanak perlu mendapatkan suntikan vaksin melalui PICKids,” ujarnya.

Menurutnya, sebelum ini, jangkitan kes Covid-19 didapati meningkat disebabkan kluster pendidikan yang berlaku di asrama sekolah.

“Sewaktu cuti sambutan Tahun Baru Cina ini, kita dapati majoriti kes jangkitan bukanlah daripada kluster, tetapi, disebabkan kontak rapat dan saringan bergejala.

“Sukar untuk mendapatkan hubungan antara kes jangkitan berikutan bilangan kes baharu dikesan, namun, ia memberi gambaran jangkitan sudah berada di mana-mana sahaja,” katanya.

Beliau mengingatkan orang awam untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti sentiasa memakai pelitup muka di tempat awam, melakukan penjarakan fizikal dan elakkan tempat sesak. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya