Kerajaan negeri buat tapisan semula penerima STR Tembeling Jaya 1

Kerajaan negeri buat tapisan semula penerima STR Tembeling Jaya 1 dan 2

NAZRI Ngah (duduk, tengah) mempengerusikan mesyuarat khas tindakan jawatankuasa pemilihan peserta Skim Tanah Rakyat (STR) Tembeling Jaya 1 dan Tembeling Jaya 2 di Kuala Tahan di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kerajaan negeri akan membuat tapisan semula penerima yang layak khususnya dalam kalangan belia yang sudah berkeluarga dan penduduk untuk mengisi projek Skim Tanah Rakyat (STR) Tembeling Jaya 1 dan Tembeling Jaya 2 di Kuala Tahan di sini.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, ia dicapai dalam mesyuarat khas, 7 Februari lalu bersama Penolong Pegawai Daerah dan Tanah Jerantut, Penghulu Mukim Tembeling Tengah, bekas penghulu Tembeling Tengah, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan Kampung (JPKK) Kuala Tahan, wakil belia dan penduduk kampung. 

“Kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail begitu mengambil tahu dan bersimpati dengan rungutan kalangan belia berkeluarga merupakan penduduk tempatan Kuala Tahan yang mengundang rasa tidak puas hati dan kecewa kerana sebilangan peserta untuk projek STR dipilih dalam kalangan orang luar dan bukannya anak tempatan.

“Belia berkenaan dan penduduk di Kuala Tahan diharap bersabar kerana hasil perjumpaan pada 7 Februari lalu, kerajaan negeri menerusi Pejabat Daerah dan Tanah dan Penghulu Mukim serta ahli jawatan kuasa khas pemilihan akan membuat tapisan semula bagi membolehkan agihan projek ini lebih adil dengan mengutamakan anak tempatan,” katanya di sini hari ini.

Nazri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar berkata, semoga perbincangan serta penyelesaian yang dibuat dalam mesyuarat khas tindakan jawatan kuasa pemilihan peserta itu dapat memuaskan hati semua pihak.

Utusan Malaysia semalam melaporkan kira-kira 30 orang penduduk dan belia membuat bantahan secara aman dengan membawa gegantung kerana tidak puas hati pemilihan projek STR Tembeling Jaya 1 dan STR Tembeling Jaya 2 yang dimonopoli kira-kira 200 orang luar kampung tersebut termasuk daerah lain daripada 841 orang peserta yang layak.

Sementara itu, jurucakap kumpulan bantahan itu, Mohamad Anas Zainuddin, 34, berkata, dia bersyukur kerana isu yang diperjuangkan oleh anak muda Kampung Kuala Tahan telahpun selesai dan berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh Nazri bersama jawatankuasa khas pemilihan peserta itu.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar serta menghargai peranan Nazri yang bertindak pantas menyelesaikan isu ini setelah tersiar di semua media.

“Ini merupakan penyelesaian terbaik dan kami berpuas hati dengan jaminan kerajaan negeri untuk membuat tapisan semula peserta projek STR demi kepentingan kepentingan serta keutamaan penduduk dan belia tempatan,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya