Keputusan Hasni kembalikan skim KMK langkah ke belakang - Dzulkefly Ahmad - Utusan Malaysia

Keputusan Hasni kembalikan skim KMK langkah ke belakang – Dzulkefly Ahmad

Dzulkefly Ahmad sifatkan Hasni ambil langkah ke belakang laksana semula KMK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad yang mahu mengembalikan skim Kuota Menegak Kerajaan (KMK) sekiranya kembali menjadi kerajaan disifatkan sebagai langkah ke belakang.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu agak ketinggalan kerana ia membenarkan 20 peratus rumah mampu milik disediakan kerajaan negeri diberi kepada parti-parti komponen BN.

Katanya, skim KMK yang dilaksanakan kerajaan BN telah dimansuhkan ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Mei 2018.

“Skim ini dimansuhkan kerana ia terdedah kepada elemen rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan akhirnya rumah mampu milik tidak sampai kepada kumpulan sasaran iaitu golongan B40. 

“Sebagai contoh, sebelum ini seorang Ketua Pemuda UMNO bahagian bersama rakan wanitanya terlibat dalam penipuan tawaran Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) yang melibatkan ratusan ribu ringgit.

“Melalui skim KMK akhirnya rumah mampu milik ini dimiliki oleh pimpinan politik parti UMNO, MCA dan MIC,” katanya dalam kenyataan, di sini semalam.

Kelmarin, Hasni memaklumkan, sekiranya BN kembali mentadbir kerajaan negeri selepas 12 Mac ini, pihaknya akan mengembalikan skim KMK yang bertujuan memberikan kediaman kepada golongan memerlukan.

Sehubungan itu, Dzulkefly yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan negeri menegaskan hasrat Hasni tidak berintegriti dan menggalakkan budaya rasuah.

“Pentadbiran kerajaan PH telah memperkenalkan sistem pengagihan rumah mampu milik lebih telus iaitu melalui undian terbuka kepada pemohon yang layak dengan semua proses itu dilakukan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Perumahan) sepenuhnya.

“Memansuhkan skim berkenaan adalah satu daripada 10 manifesto PH Johor yang berjaya dicapai dalam 100 hari pertama pentadbiran kerajaan PH Johor pada tahun 2018,” jelasnya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN