Kemalangan dalam Op Selamat 17 turun 36 peratus - Utusan Malaysia

Kemalangan dalam Op Selamat 17 turun 36 peratus

KAMARUL Zaman Mamat memberikan kata-kata nasihat kepada seorang pemandu ketika Majlis Pelancaran Op Selamat Kontinjen Johor sempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Kempas, Johor Bahru, baru-baru ini. -UTUSAN /RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jumlah kemalangan jalan raya dalam Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina pada tahun ini berkurang sehingga 36 peratus setakat hari kelima pelaksanaan operasi itu berbanding tempoh sama dalam Op Selamat 16.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mengikut statistik terkini yang direkodkan, sebanyak 776 kemalangan berlaku dalam tempoh itu berbanding 1,219 dalam Op Selamat terdahulu yang menyaksikan pengurangan 443 kes.

Menurutnya, jumlah kemalangan maut yang direkodkan turut menunjukkan pengurangan sehingga 20 peratus iaitu daripada 10 kepada lapan kes dalam tempoh sama.

“Bagi jumlah kematian akibat kemalangan maut dalam Op Selamat 16 dahulu, kita merekodkan sehingga 11 kematian, namun dalam Op Selamat 17 kali ini, hanya sembilan kes kematian yang berlaku sepanjang lima hari operasi.

“Namun, dari segi statistik saman pula yang melibatkan pelbagai kesalahan, terdapat sedikit peningkatan iaitu kira-kira dua peratus daripada 5,968 jumlah saman kepada 6,100 setakat operasi masih berjalan ketika ini,” katanya.

Tambah beliau, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor telah mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan Subtek Op Selamat 17 di Daerah Batu Pahat dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan khususnya kemalangan maut. 

“Batu Pahat merupakan daerah kedua tertinggi statistik kemalangan maut di Malaysia mengikut senarai G40. Tetapi, lapan kes kemalangan maut bagi Op Selamat 17 yang berlaku adalah di luar kawasan titik panas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pendekatan dijalankan polis Johor juga adalah dengan meningkatkan rondaan di kawasan titik panas selain meningkatkan masa tindak balas kepada halangan dan kemalangan yang dilaporkan berlaku bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Selain itu konsep advokasi juga diterap kepada masyarakat dan memberi bantuan sekiranya dalam kecemasan sebagai tanda keprihatinan anggota JSPT kepada masyarakat. 

“Namun, penguatkuasaan tegas juga dilaksana dengan konsep total enforcement kerana dengan cara itu sahaja dapat mendidik masyarakat untuk terus patuh kepada peraturan dan undang-undang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman memaklumkan, polis negeri itu berjaya menahan seramai 36 individu berusia antara 18 hingga 56 tahun sepanjang pelaksanaan operasi terbabit yang dimulakan sejak akhir bulan lalu di seluruh Johor.

Menurut beliau, mereka yang ditahan didapati melakukan pelbagai kesalahan antaranya memandu dalam keadaan mabuk, samseng jalanan, terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan juga mempunyai rekod dikehendaki polis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN