Kelulusan bazar Ramadan di Ipoh diketahui hujung bulan ini - Utusan Malaysia

Kelulusan bazar Ramadan di Ipoh diketahui hujung bulan ini

RUMAIZI Baharin (kiri), Yahanis Yahya (tengah) dan Norsiyenti Othman menanam pokok pada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk mangsa ribut dan puting beliung di Taman Tasek Damai, Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Keputusan berhubung penganjuran bazar Ramadan di bandar raya Ipoh akan diketahui pada hujung bulan ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, ini berikutan penularan varian Omicron wabak Covid-19 menyebabkan kelulusan penganjuran bazar Ramadan bergantung kepada hasil mesyuarat agensi berkaitan keselamatan dalam masa terdekat.

“Disebabkan Omicron, mungkin ada perubahan dari sudut prosedur operasi standard (SOP) namun saya tidak boleh ulas lanjut.

“Setakat ini penganjuran bazar Ramadan di Ipoh akan diteruskan cuma masih dalam proses kerana kami belum bermesyuarat lagi,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk mangsa ribut dan puting beliung di perumahan Taman Tasek Damai hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), Yahanis Yahya dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Norsiyenti Othman.

Menurut Rumaizi, MBI menerima permohonan yang sangat menggalakkan untuk peniaga berniaga di bazar Ramadan tahun ini.

“Sambutan yang diterima daripada peniaga amat menggalakkan dan kita akan pastikan semua orang yang memohon akan diberi peluang,” katanya.

Berhubung penularan varian baru Covid-19, Omicron, Rumaizi berkata, pengunjung dan peniaga bazar Ramadan akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang terkini oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita akan mengikut SOP terkini yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi mengekang penularan wabak ini,” katanya.

Mengenai program CSR kepada mangsa ribut, Rumaizi berkata, program itu adalah untuk membantu mangsa khususnya dari sudut bantuan pertanian. 

Katanya, melalui program itu, seramai 30 penduduk yang terjejas menerima bantuan melibatkan anak benih tanaman buah-buahan dan set nutripot.

“Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak pula akan menyediakan input pertanian iaitu  30 benih anak pokok yang terdiri daripada tanaman pisang, betik, cempedak dan nangka.

“Jabatan Pertanian negeri akan menyalurkan bantuan  40 benih anak pokok kelapa selain 52 set nutripot melibatkan benih tanaman dan baja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya