Katil ICU pesakit Covid-19 di Johor semakin sesak - Utusan Malaysia

Katil ICU pesakit Covid-19 di Johor semakin sesak

NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Johor menjadi negeri tertinggi kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit Covid-19 iaitu 54 peratus berbanding semua negeri lain di bawah 50 peratus sehingga semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kadar penggunaan katil bukan ICU khusus bagi pesakit Covid-19 adalah melebihi 80 peratus iaitu Selangor (95 peratus) manakala Perlis dan Kelantan masing-masing 88 peratus.

Katanya, sebanyak 4,700 pesakit Covid-19 berada di hospital di mana kategori tiga, empat dan lima adalah sebanyak 376 kes (8 peratus) daripada keseluruhan pesakit Covid-19.

“Antara sebab kemasukan pesakit Covid-19 kategori satu dan dua ke hospital pula adalah rawatan kecemasan seperti kencing manis atau darah tinggi yang tidak terkawal; baru dikenal pasti menghidap penyakit tidak berjangkit yang tidak terkawal seperti darah tinggi atau kencing manis semasa mendapat pemeriksaan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC); penjaga kepada pesakit Pediatrik dan Geriatrik; kes Obstetrik yang memerlukan pemantauan rapi dan pesakit Immunocompromised seperti HIV, pesakit yang sedang menerima rawatan kemoterapi.

“Selain itu, kemasukan melalui wad kecemasan; keadaan rumah yang kurang bersesuaian; kes kanak-kanak; dehidrasi atau kekurangan air di dalam badan; demam berpanjangan dan kelesuan; mempunyai penyakit kronik serta tiada penjaga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, bagi perbandingan Minggu Epidemiologi (ME) ke 5/2022, kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam pada ME ke 6/2022 bagi kategori tiga, empat dan lima menunjukkan peningkatan di semua peringkat umur kecuali golongan remaja.

“Peningkatan berganda dilihat ke atas golongan kanak-kanak, orang dewasa dan warga tua bagi ME ke 6/2022.

“Atas faktor peningkatan itu, semua kanak-kanak, remaja dan golongan dewasa serta warga tua yang layak disarankan untuk segera mendapatkan vaksinasi dan dos penggalak di pusat pemberian vaksin (PPV) berdekatan anda,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya