KEMAMAN: Kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memperuntukkan kira-kira RM8 juta untuk pengurusan bencana banjir di seluruh negara, tahun ini.
Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, setakat ini, sebanyak RM4.5 juta sudah disalurkan ke seluruh negeri.
Katanya, daripada jumlah itu, Kedah, Selangor, Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak masing-masing menerima RM500,000 untuk suku pertama tahun ini, diikuti Melaka RM150,000.
“Perak, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur pula menerima RM100,000 manakala Labuan dan Perlis menerima RM30,000,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok di sini hari ini.
Rina berkata, peruntukan itu merangkumi barangan makanan di depoh simpanan dan pangkalan hadapan di samping barangan keperluan mangsa banjir di PPS. –UTUSAN ONLINE