PADANG BESAR: Industri bantal kekabu khususnya di negeri ini yang cukup popular satu ketika dahulu dikhuatiri pupus ekoran pengusahanya yang semakin berkurangan sejak 10 tahun kebelakangan ini.
Difahamkan, ramai pengutip-pengutip kekabu yang berusia sudah meninggal dunia selain pokok berkenaan yang didapati sudah semakin berkurangan di negeri ini.
Bagi golongan muda, kebanyakan mereka sudah tidak berminat membuat atau mengusahakan perniagaan bantal kekabu ini, sekali gus tradisi itu semakin dilupakan.
Disebalik industri bantal kekabu semakin pupus, namun, terdapat seorang pengusaha, Fatimah Ramli, 60, yang masih bertahan menjalankan perniagaan tersebut di kawasan Batu 19, Jalan Padang Besar di sini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Fatimah berkata, dia terlibat secara langsung dengan perniagaan bantal kekabu itu sejak lebih 30 tahun lalu.
Katanya, ketika mula menjual bantal kekabu tersebut, masih ramai pengusaha yang menjalankan perniagaan sama namun kebelakangan ini sudah tidak ada.
Ujarnya, ketika ini, hanya tinggal dia seorang sahaja yang berniaga bantal kekabu di kawasan tersebut dan sukar untuk mencari pembuat bantal kekabu lain.
“Sekarang, susah untuk mendapatkan bekalan kekabu seperti dahulu, saya pun tidak menggunakan kekabu tempatan, tetapi, terpaksa mengimport bekalan dari Thailand untuk dijadikan bantal serta set tilam bayi.
“Ketika mula-mula berniaga, saya hanya menggunakan kira-kira 10 kilogram isi kekabu untuk dijadikan bantal. Ia mengambil masa kira-kira enam minit untuk mengisi kekabu ke dalam bantal dan menjahitnya semula,” katanya.
Tambah Fatimah, dia pernah mengimport kira-kira empat tan metrik isi kekabu untuk dijadikan bantal saiz biasa yang cukup popular dan sering menerima tempahan dari luar negeri ini seperti Kedah dan sekitar Lembah Klang.
“Saya menggunakan kekabu jenis ringan yang betul-betul kering bagi menghasilkan bantal yang gebu. Saya sendiri pergi ke kilang yang terletak di negara jiran bagi memastikan isi kekabu itu betul-betul kering bagi menghasilkan bantal yang benar-benar berkualiti.
“Penggunaan 100 peratus isi kekabu kering menjamin kualiti bantal yang ringan, lebih gebu dan senang dibentuk semula berbanding penggunaan serat buatan (fiber) ataupun bantal span,” katanya.
Katanya lagi, pelbagai variasi bantal dihasilkan olehnya yang terdiri daripada saiz kecil, sederhana dan besar bermula dari harga serendah RM22 hingga RM30, manakala set tilam bayi pula dijual pada harga RM100.
“Buat masa ini, perniagaan dibantu oleh anak perempuan dan menantu saya yang cuba memasarkan bantal berkenaan secara dalam talian yang mendapat sambutan cukup memberangsangkan terutamanya daripada pelanggan luar dari Perlis,” katanya.
Sebagai rekod, musim angin timur ketika ini adalah waktu sesuai bagi aktiviti mengutip buah kekabu yang mula pecah dan luruh untuk dijadikan bantal secara tradisional.
Dahulunya, buah kekabu yang masak akan kering dan pecah lalu gugur ke tanah sebelum dikutip seterusnya dijemur sehingga betul-betul kering di bawah sinaran matahari. Biji buah tersebut akan diasingkan sebelum ia dimasukkan ke dalam bantal. –UTUSAN ONLINE