Husna perlu duduki SPM sambil meniarap - Utusan Malaysia

Husna perlu duduki SPM sambil meniarap

HUSNA Shafieqa Husni Hanafi yang menderita penyakit saraf tetap belajar secara meniarap sebagai persediaan menduduki SPM di rumahnya di Kampung Kedondong, Pasir Mas, Kelantan. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Husna Shafieqa Husni Hanafi, 18, mungkin perlu menduduki peperiksaan penting itu bermula 2 Mac ini dengan cara meniarap, gara-gara penyakit saraf dideritainya.

Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Bemban diserang penyakit saraf secara mengejut sekitar Disember lalu, membuatkan dia tidak dapat duduk dan berdiri, kecuali meniarap dan mengiring.

Ibunya, Suriana Mat Hussin, 45, mengakui hatinya luluh melihat anaknya yang sebelum ini normal dan memperoleh 5A dalam peperiksaan percubaan, masih gigih membuat persediaan menghadapi SPM biarpun secara meniarap di atas katil.

\Kata Suriana, anak sulung dari tiga beradik itu pada mulanya mengadu tidak dapat bangun dari tidur seperti biasa dan situasi itu berterusan sehingga Husna Shafieqa terpaksa dipapah untuk ke tandas.

“Kami segera membawanya ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan doktornya mengesahkan anak saya menderita penyakit saraf.

“Sejak diserang penyakit ini, Husna Shafieqa sudah tidak dapat mengikuti pembelajaran secara bersemuka seperti calon SPM yang lain,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Kedondong, di sini hari ini.

Suriana berkata, Husna Shafieqa yang kini belajar secara dalam talian tetap mendapat sokongan penuh guru-guru dan rakan-rakan yang tidak putus-putus memberikan semangat serta tunjuk ajar.

“Setiap hari, saya berdoa Husna Shafieqa pulih seperti sedia kala kerana dia harapan keluarga dan contoh kepada adik-adik,” katanya sambil memberitahu anaknya layak menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan.

Sementara itu, Husna Shafieqa mengakui, dia hampir berputus asa sebaik sahaja disahkan menghidap penyakit saraf, namun, semangatnya pulih selepas mendapat sokongan padu keluarga, rakan dan guru.

“Semangat itu menjadi ‘tonik’ untuk saya menduduki SPM. Biarpun tidak boleh bergerak secara normal, saya bertekad mahu mendapatkan keputusan cemerlang supaya dapat ubah masa depan keluarga,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Suriana Mat Hussin di nombor akaun 03501-41-00005768-4. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya