KUALA NERUS: Hujan lebat dan ombak bergelora yang melanda sejak minggu lalu menyebabkan kalangan nelayan di negeri ini terputus sumber rezeki akibat tidak dapat turun ke laut.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, hanya bot-bot bersaiz besar yang berani meneruskan rutin menangkap ikan, manakala nelayan lain terpaksa berehat buat sementara waktu.
Seorang nelayan, Mohd. Zuki Omar, 45, berkata, keadaan cuaca yang tidak menentu bukan sahaja menjejaskan pendapatannya, malah, menyukarkan untuk meraih hasil laut.
“Saya terpaksa membatalkan hasrat ke laut kerana bimbang keselamatan diri. Kelmarin, tempoh menangkap ikan kurang sejam dan saya segera balik selepas tengok langit gelap,” katanya ketika ditemui di Pantai Tok Jembal di sini hari ini.
Beberapa daerah di Terengganu dilanda hujan lebat dan ribut petir sejak minggu lalu, namun, tiada lokasi yang dilaporkan dinaiki air sehingga kini.
Sementara itu, seorang peniaga ikan, Faridah Halim, 52, berkata, tidak ramai nelayan yang berani turun ke laut dalam keadaan cuaca ketika ini sekali gus menyebabkan hasil laut berkurangan kepada 10 kilogram sehari.
“Kebiasaannya, selepas Tahun Baharu Cina, musim tengkujuh beransur pulih, namun, keadaan sebaliknya, jadi, saya tidak dapat membuka gerai buat masa ini untuk menjual hasil laut kepada penduduk sekitar,” katanya. -UTUSAN ONLINE