Guna dron tingkat hasil sawah padi - Utusan Malaysia

Guna dron tingkat hasil sawah padi

MUHAMMAD Safwan Abu Hasan, 32 menjadikan perkhidmatan menyembur racun, baja dan benih padi menggunakan dron jenis Agras T16 DJI yang berharga RM54,000 sebagai pendapatan tetap.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Penggunaan kaedah teknologi terkini seperti perkhidmatan dron kini mengubah landskap pertanian konvensional mampu menjamin hasil pengeluaran makanan dengan lebih optimum selain dapat menjana pendapatan.

Muhammad Safwan Abu Hasan, 32, berkata, permulaan menyembur racun menggunakan dron di petak sawah padi miliknya di Permatang Nibong, dekat sini sejak tahun 2019 membuka lembaran baharu kepadanya untuk menjadikan perkhidmatan menyembur racun, baja dan benih padi sebagai pendapatan tetap.

Katanya, dia menggunakan dron jenis Agras T16 DJI bernilai RM54,000 selepas mendapati banyak kelebihan dari segi penjimatan tenaga manusia dan paling utama dapat risiko terhadap kesihatan.

“Jika menggunakan tenaga manusia untuk sembur racun, semai baja mahupun benih padi boleh mengambil masa selama satu jam untuk keluasan satu petak sawah padi iaitu kira-kira 0.6 hektar.

“Berbanding menggunakan teknologi dron, hanya memakan masa selama 10 minit hingga ke 15 minit,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di bendang sawah berhampiran Tanah Liat, Kubang Semang, di sini hari ini.

Kata bapa kepada seorang anak itu, penggunaan dron dapat mengurangkan risiko kesihatan ke atas pesawah yang sebelum ini terdedah dengan racun yang digunakan secara langsung yang boleh mendatangkan kesan kepada kulit, mata dan sebagainya.

“Racun dibancuh sendiri dengan memasukkan ke dalam tangki (16 liter) dan selebihnya akan dilakukan oleh dron,” katanya yang mempunyai latar belakang pendidikan di Politeknik Seberang Perai dalam jurusan kejuruteraan mekanikal.

Muhammad Safwan menambah, sebelum memulakan aktiviti menyembur racun, baja, mahupun benih padi, dia akan membuat pemetaan (mapping) petak sawah terlebih dahulu.

Kerja-kerja itu katanya, melibatkan jumlah kadar racun serta masa penyemburan yang dilakukan secara automatik menggunakan kemudahan internet jaringan tanpa wayar (WiFi) dan titik panas pada telefon pintar.

Tambahnya, dari segi cabaran pula apabila melibatkan keadaan cuaca yang tidak menentu seperti hujan lebat akan merencatkan kerja penyemburan kerana dikhuatiri akan merosakkan sistem elektronik dron jika terkena air.

“Selain itu, jika terdapat banyak pokok besar mahupun tiang elektrik pada petak sawah serta keadaan awan tebal, juga akan menyukarkan proses pemetaan kerana mengganggu sensor dron.

“Ini memaksa kita melakukan semburan secara manual bagi memastikan kesemua kawasan petak sawah mendapat semburan racun, baja dan benih dengan sekata,” katanya yang turut ditemani isterinya Shamila Shaharudin, 27 yang bertindak sebagai pembantunya.

Sementara itu, seorang pesawah Zamzuri Din, 52 yang menggunakan perkhidmatan Muhammad Safwan sejak awal tahun ini berkata, kemudahan dron bukan sahaja dapat mengurangkan pembaziran sumber tenaga manusia, malah menjimatkan kos bahan yang digunakan.

Ini kerana katanya, kaedah penyemburan dilakukan secara rata, seragam dan lebih berkesan.

“Dari segi permintaan, saya lihat ramai dalam kalangan pesawah mahupun petani sudah mula menggunakan perkhidmatan dron kerana jimat masa dan tenaga.

“Hasil keluaran pun terjamin serta tiada masalah pembaziran kos bahan seperti baja, racun mahupun benih padi itu sendiri,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya