Ejen nikah Siam sibuk - Utusan Malaysia

Ejen nikah Siam sibuk

SEGALA keputusan berhubung pembukaan sempadan negara perlu mengimbangi keperluan negara dalam aspek ekonomi dan kehidupan rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Hanya empat hari selepas Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengesyorkan kerajaan membuka semula sempadan negara bermula 1 Mac ini, ejen-ejen nikah Siam tidak menang tangan menerima tempahan pasangan yang mahu berkahwin di Thailand.

Ejen-ejen nikah Siam di negeri ini mendakwa mereka tidak putus-putus menerima panggilan daripada pasangan termasuk dalam kalangan kenamaan bergelar Datuk yang ingin menempah slot untuk bernikah.

Selain itu, ramai juga mendesak ejen-ejen nikah tersebut memberi gambaran mengenai situasi semasa pintu-pintu sempadan ketika ini bagi memudahkan pasangan untuk membuat persediaan sebaik sempadan dibuka.

Seorang ejen yang ingin dikenali sebagai Kak Wan mendakwa, sejak cadangan MPN pada Selasa lalu, hari sama juga dia tidak putus-putus menerima panggilan pelanggan yang bertanyakan tarikh sebenar pembukaan sempadan serta tata cara yang bakal dilaksanakan untuk ke Thailand.

Menurutnya, semua pemanggil mahu mendapat slot pernikahan di selatan Thailand yang paling cepat sebaik sempadan dibuka.

“Sejak hari MPN mahu buka sempadan, dalam sehari, sekurang-kurangnya lima tempahan daripada pasangan yang macam terdesak diterima dalam sehari,” kata Kak Wan ketika dihubungi semalam.

Selain dirinya, wanita itu memberitahu, rakan-rakan ejen lain turut menerima tempahan sama dan dia tidak menolak kemungkinan ratusan tempahan sudah diterima membabitkan ejen-ejen nikah Siam di negeri ini sahaja.

“Saya menjelaskan kepada mereka (pasangan), tarikh sebenar pembukaan sempadan antarabangsa terutamanya sempadan Thailand belum diputuskan kerajaan. Malah ada juga yang menghantar klip video menayangkan pengumuman sidang media MPN itu.

“Selain rakyat negara ini, saya juga turut menerima pertanyaan dari warga Thailand untuk menguruskan pelbagai perkara berkaitan pernikahan termasuk cerai, rujuk dan tuntutan fasakh,” katanya.

Selasa lalu, media melaporkan MKN bersetuju supaya sempadan negara dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac ini tanpa kuarantin wajib.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, bagaimanapun, ujian Covid-19 sebelum berlepas dan sejurus tiba di pintu sempadan negara perlu dilakukan mengikut syor Kementerian Kesihatan (KKM) sekali gus perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa.

Tambah Kak Wan, daripada keseluruhan 300 pasangan dalam senarai menunggu sebelum ini, ia turut membabitkan orang kenamaan (VIP) bergelar datuk yang masih setia menunggu slot perkahwinan di negara jiran.

Katanya, pada masa ini, apa yang boleh dijelaskan kepada para pelanggan adalah mereka perlu menunggu pengumuman rasmi kerajaan memandangkan kes Covid-19 juga sedang menunjukkan peningkatan.

“Pada masa ini, kami masih meneruskan tempahan slot pernikahan tanpa mengenakan sebarang bayaran dan bersiap-sedia untuk menanti pengumuman seterusnya daripada pihak kerajaan,” ujarnya.

Seorang lagi ejen yang enggan namanya didedahkan berkata, dia sudah bersiap sedia membawa pasangan bernikah di Thailand sekiranya kerajaan memutuskan secara rasmi pintu sempadan negara dibuka sepenuhnya.

Katanya, selepas cadangan pembukan sempadan oleh MKN itu, dia sudah menerima lebih 20 tempahan dalam masa empat hari dan jumlah tersebut dijangka terus meningkat.

Dalam masa sama, dia juga berharap pembukaan sempadan negara segera dilaksanakan sekali gus membantu dia menjana semula pendapatan selepas lebih dua tahun.

“Setiap hari ada saja panggilan yang diterima bertanyakan soal perkahwinan di Siam membabitkan mereka dari seluruh negara. Malah, beberapa hari kebelakangan ini, semakin banyak panggilan yang diterima.

“Ramai yang menyangka pintu sempadan akan dibuka sepenuhnya pada 1 Mac depan namun sebenarnya ia hanyalah cadangan yang masih belum diputuskan secara rasmi oleh kerajaan,” katanya yang berpengalaman lebih 10 tahun menjadi orang tengah perkahwinan di Thailand. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya