EAIC bidas Hamid Bador, hilang hak komen isu kartel  - Utusan Malaysia

EAIC bidas Hamid Bador, hilang hak komen isu kartel 

Abdul Hamid Bador enggan mengulas hasil siasatan kartel PDRM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador hilang haknya untuk membuat sebarang komen berkenaan isu kartel  sebagaimana yang dibangkitkan sebelum ini.

Suruhanjaya Integriti Penguatkuasaan Malaysia (EAIC) dalam satu kenyataan berkata, ini kerana beliau tidak memberikan sebarang bukti yang dapat menyokong dakwaan bahawa wujud kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, Abdul Hamid juga tidak menamakan mana-mana pegawai yang terlibat dalam isu kartel ini dan beliau akui semasa memegang jawatan sebelum ini tidak pernah membangkitkan mengenai isu kartel ini dalam mana mana mesyuarat melibatkan Pengarah-Pengarah Jabatan PDRM Bukit Aman.

“Justeru, barisan Pesuruhjaya EAIC mendapati beliau selaku KPN tidak mengambil tindakan sewajarnya, walaupun mengetahui berkenaan dengan isu kartel ini sejak tahun 2020 yang mana beliau mempunyai masa dan kuasa untuk menangani isu ini sebelum mendedahkannya kepada media.

“Selain itu,  beliau selaku KPN sepatutnya mengarahkan pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman untuk menjalankan siasatan secara terperinci dan tindakan sewajarnya perlu diambil terlebih dahulu sebelum isu kartel ini didedahkan kepada pihak media,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini Abdul Hamid Bador, melahirkan rasa kecewa terhadap hasil siasatan yang diumumkan EAIC berhubung dakwaan kewujudan kartel dalam pasukan polis.

Beliau menyifatkan laporan hasil  penemuan sistem dalam pasukan polis seperti yang diumumkan adalah cetek dan tidak betul.

Malah, beliau menyifatkan Pengerusi EAIC, Tan Sri Mohd Sidek Hassan tidak biasa dengan ‘sistem’ polis.

Dalam pada itu EAIC berkata, Abdul Hamid juga tidak memberikan keterangan kepada pihak JIPS Bukit Aman supaya isu kartel ini dapat disiasat dan diselesaikan.

“Beliau selaku KPN tidak pernah membangkitkan isu kartel ini dalam Mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

“Terdapat saksi dalam siasatan EAIC yang menyatakan bahawa kenyataan mengenai kewujudan kartel yang dibuat  Abdul Hamid pada saat akhir sebelum kontrak beliau sebagai KPN tamat pada Mei 2021 menimbulkan persoalan mengenai motif dan tujuan pendedahan tersebut,” jelasnya.

EAIC ingin menegaskan bahawa Abdul Hamid  enggan untuk dirakam percakapan lanjut bagi mendapatkan penjelasan berkenaan dengan isu-isu ini.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya