Covid-19: Tiada penutupan sektor ekonomi - Azmin - Utusan Malaysia

Covid-19: Tiada penutupan sektor ekonomi – Azmin

MOHAMED AZMIN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGKAK: Kerajaan tidak mungkin melaksanakan sekatan pergerakan penuh atau penutupan beberapa sektor terutama ekonomi meskipun angka kes Covid-19 kembali meningkat sejak kebelakangan ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, jaminan itu juga diberikan kepada pemain Industri Kecil dan Sederhana (IKS) selepas melihat kepada impak penutupan sebelum ini.

Katanya, kerajaan turut mengambil kira kesan negatif terhadap ekonomi dan kadar pengangguran yang berlaku rentetan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020.

“Ya, kerajaan umum tak akan PKP kerana kesan kepada ekonomi dan pengangguran negara pada awal 2020 meningkat kepada 5.3 peratus sehingga 826,000 rakyat Malaysia hilang pekerjaan.

“Kita tak boleh lagi melakukan sekatan pergerakan penuh kerana apa yang kita buat (kini) berdasarkan data dan sains untuk langkah-langkah kawalan. Kita lebih bersasar sekiranya ada kenaikan (kes).

“MITI akan turut memastikan kumpulan peniaga juga tidak akan berdepan impak ekonomi sehingga memaksa beberapa sektor perniagan terpaksa gulung tikar,” katanya dalam majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina bersama IKS di sini, malam tadi.

Tambah Mohamed Azmin, program vaksinasi termasuk Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) yang telah menyuntik hampir dua juta pekerja sektor pembuatan antara inisiatif yang dilakukan MITI dalam memastikan sektor ekonomi tidak lagi terjejas dengan wabak Covid-19.

Katanya, kerajaan juga telah meminda Akta 446 untuk memastikan tempat tinggal pekerja bersifat kondusif sebagai langkah proaktif untuk menangani masalah Covid-19 dengan cara lebih efektif.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, rakyat Johor yang akan mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi perlu melihat rekod pencapaian Perikatan Nasional (PN) yang terbukti berkesan ketika negara terhimpit dengan pandemik Covid-19.

Kata beliau, walaupun terdapat beberapa pihak yang tidak gemar dengan hakikat itu, namun, fakta tersebut tidak boleh disembunyikan apatah lagi Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei meletakkan Malaysia pada tangga ke-13 setakat 31 Disember lalu.

“Kita kena lihat rekod yang telah dilakukan oleh PN dalam tempoh yang begitu singkat ketika negara hadapi krisis kesihatan dan ekonomi, namun, kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan PN telah berjaya membawa negara keluar daripada krisis ini.

“Ini adalah rekod yang tidak boleh dipadamkan. Angka tidak menipu. Lihat kepada pencapaian itu yang akan membawa kebaikan kepada industri di Johor. Saya serahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan dalam PRN Johor,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya