BAGAN SERAI: Ibu bapa pelajar Kolej Matrikulasi Gopeng tidak perlu bimbang tentang kesihatan anak-anak mereka walaupun berlaku penularan Covid-19 di kolej itu.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, sebanyak 365 kes jangkitan dicatatkan di kolej itu pada 7 Februari lalu, namun, sehingga semalam, tiada lagi kes yang dicatatkan.
Menurutnya, secara keseluruhan, keadaan di kolej itu terkawal di mana semua pelajar yang dijangkiti telah diasingkan sejak awal lagi.
“Pihak kolej telah mengasingkan semua pelajar yang dijangkiti di kuarters kakitangan dan bilik tetamu di kolej itu.
“Pelajar yang tidak dijangkiti pula diasingkan di tempat yang lain dan tidak dibenarkan keluar dan tidak diberi peluang untuk pulang,” katanya.ditemui pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin Kanak-Kanak (PICKids) di Dewan Selinsing, Gunung Semanggol dekat sini hari ini.
Beliau mengulas kebimbangan ibu bapa pelajar di kolej itu berikutan ada pelajar yang positif Covid-19, namun, pihak pengurusan kolej tetap meneruskan kelas secara bersemuka.
Menurut Dr. Noor Azmi, berikutan jangkitan di kolej tersebut, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Perak telah menghantar 100 buah katil ke kolej itu dan jika ada keperluan, akan ditambah.
“Majoriti pelajar yang dijangkiti melibatkan lima blok di kolej itu kebanyakannya dalam kategori satu dan dua, hanya beberapa pelajar yang diletakkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).
“Jangkitan ini dipercayai disebabkan pelajar-pelajar ini pulang ke kolej setelah cuti Tahun Baharu Cina baru -baru ini,” katanya.
Menurut Noor Azmi, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat penilaian risiko terlebih dahulu sebelum membenarkan pembelajaran secara bersemuka dapat dijalankan di kolej itu.
“Penilaian risiko telah dibuat sama ada boleh atau tidak boleh kelas bersemuka dijalankan kerana semuanya dinamik.
“Jadi pembelajaran secara bersemuka di kolej ini adalah hasil penilaian risiko yang telah dibuat, jadi ibu bapa pelajar tidak perlu khuatir tentang perkara itu,” katanya.
Sementara itu, Noor Azmi menyarankan rakyat mengambil suntikan dos penggalak bagi meningkatkan sistem imuniti badan bagi mengelakkan daripada dijangkiti varian Omicron Covid-19.
Menurutnya, kebanyakkan kes jangkitan Omicron disebabkan individu tidak ambil suntikan dos penggalak.
“Varian ini sudah ada dalam komuniti sebab itu ramai yang terkena jangkitan.
“Saya bimbang jika Omicroan menjadi ganas menular dengan pantas akan menyebabkan golongan yang mempunyai penyakit berisiko tinggi untuk dijangkiti,” katanya. –UTUSAN ONLINE