LUMUT: Cadangan gaji minimum penjawat awam dinaikkan daripada RM1,200 sebulan sekarang kepada RM1,800 sebulan berkuat kuasa tahun ini adalah relevan, berdasarkan keadaan ekonomi dan paras harga barangan semasa, sekali gus memberi kuasa membeli golongan itu bagi membiayai kehidupan harian.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, cadangan itu yang terkandung dalam cadangan sistem saraan baharu bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang sudah 20 tahun dilaksanakan, diyakini tidak mencetuskan lagi kenaikan harga barangan jika kerajaan sendiri bertegas mengawalnya.
“Kenaikan harga barang (disebabkan kenaikan gaji penjawat awam) adalah fenomena yang kita jangka, tetapi, kita berharap kerajaan ada ketegasan dan ada formulanya sendiri (mengawal kenaikan itu),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kursus Kepimpinan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae) Cawangan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) di Teluk Batik, hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Agung Cuepacs, Abdul Rahman Mohd. Nordin; Pengerusi Anulae Cawangan MPM, S. Vadivellu dan Penolong Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Perak, Nurul Nazwa Abdul Aziz.
Menurut Adnan, antara tindakan yang boleh diambil kerajaan bagi menangani kenaikan harga barang ialah dengan memastikan pengimportan, pemborongan dan penjualan barangan keperluan pengguna tidak dimonopoli oleh kartel perniagaan tertentu atau segelintir syarikat sahaja.
Cadangan beliau agar kerajaan memecahkan monopoli tersebut dengan memberi ruang dan peluang kepada pengendali industri lain yang berkebolehan untuk turut sama terlibat dalam perniagaan import, borong dan penjualan barangan keperluan pengguna.
“Beri peluang kepada mereka yang ada ruang dan kebolehan untuk import barangan ini kepada ramai pihak khususnya pengendali industri dan dalam kuantiti yang banyak, akhirnya harga barang dapat diturunkan.
“Sistem import (barangan pengguna) di negara ini hanya dimonopoli pihak tertentu sehingga membolehkan mereka mengawal harga barang dengan memastikan kemasukan sesuatu barangan tersebut secara terhad dan sedikit.
“Jadi, jika diberi ruang kepada pihak industri dengan bilangan yang ramai, maka akhirnya harga barang boleh diturunkan, bermakna industri ini perlu ‘disegarkan’ semula,” ujar beliau.
Adnan menjelaskan, SSM sedia ada sudah tidak relevan dan tidak mampu memberi gaji kompetitif kepada penjawat awam, justeru, sistem penggajian yang lebih selesa dan perbelanjaan yang adil harus dilaksanakan memandangkan sudah 20 tahun kadar gaji tidak berubah, tetapi, harga barangan meningkat berkali ganda.
Beliau berkata, sebelum ini, kerajaan pernah menaikkan kadar gaji minimum daripada RM812 sebulan kepada RM1,200 iaitu kenaikan hampir RM400, justeru, kenaikan RM600 iaitu daripad RM1,200 sebulan kepada RM1,800 sebulan adalah bersesuaian.
“Dengan gaji minimum RM1,800 dicampur dengan bantuan sara hidup (COLA), elaun tetap perumahan (ETP) dan elaun khidmat awam, seorang penjawat awam boleh mendapat pendapatan bulanan RM2,450 sekali gus mengatasi paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) iaitu RM2,208 seisi rumah sebulan,” katanya.
Beliau berkata, cadangan itu telah dikemukakan kepada kerajaan dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, sendiri menyatakan cadangan Cuepacs itu sedang dikaji oleh pihak kerajaan.
“Mungkin kerajaan merasakan tempoh pandemik Covid-19 ini masih ada dan kerajaan memerlukan masa untuk melaksanakan sistem ini, kita boleh menerimanya, tetapi, kita mahu sistem ini wujud, pelaksanaannya letak nombor dua.
“Kita faham dengan situasi pandemik ini tetapi kita mahu kerajaan meletakkan strukturnya lebih awal,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE