Bendang kering kini berair semula - Utusan Malaysia

Bendang kering kini berair semula

SEORANG petani melihat pelepasan air dari Chamber Gong Nangka untuk mengairi kawasan bendang yang kering-kontang di sekitar Gaal, Pasir Puteh, Selasa lalu. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Seramai 150 petani yang mengusahakan padi dua musim di Bendang Gaal, Gong Datuk dan Wakaf Bunut, di sini, lega apabila sawah mereka yang kering-kontang sejak sebulan lalu, kembali berair Selasa lalu..

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi itu hari ini mendapati, Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin Semerak telah melepaskan air bagi mengairi semula semua kawasan yang terjejas

Pengarah IADA Kemasin Semerak, Rohani Jusoh berkata, fenomena kemarau menyebabkan air sawah kering dan jika tidak diatasi, tumbesaran lebih 200 hektar tanaman padi varieti CL20, 277 dan 269 dikhuatiri terbantut.

“Pam besar yang berfungsi mengepam air dari Sungai Yong pula rosak sejak dua minggu lalu. Selepas pam itu siap dibaiki, bekalan air segera dilepaskan ke sawah-sawah yang terjejas sejak petang semalam.

“Pihak IADA akan memantau perkembangan ini dari semasa ke semasa bagi memastikan pengeluaran padi di seluruh kawasan ini dapat diteruskan seperti biasa ,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurut Rohani, sebelum ini IADA telah menempatkan dua pam kecil bergerak di Bukit Yong, di sini sebagai langkah penyelesaian sementara namun masih tidak mampu membekalkan air ke semua bendang yang terlibat.

“Saya minta para pesawah supaya bersabar kerana pihak IADA sedang bertungkus-lumus mencari jalan penyelesaian terbaik kepada masalah kemarau yang boleh merosakkan tanaman mereka ini,” katanya.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan 150 pesawah yang mengusahakan padi dua musim di tiga bendang terbabit bakal berdepan kerugian lebih RM800,000 apabila tanaman itu terbantut akibat kemarau berlaku lebih awal daripada jangkaan.

Difahamkan, sudah hampir sebulan tiga bendang tersebut tidak menerima bekalan air sehingga menjadi kering-kontang, sekali gus menyebabkan proses pemberian baja kepada benih padi varieti CL20, 277 dan 269 tidak dapat diteruskan. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya