PETALING JAYA: Tenaga Nasional Bhd. (TNB) sedang giat memulihkan bekalan elektrik di daerah-daerah di Terengganu dan Kelantan yang terjejas akibat banjir.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din, warga kerja barisan hadapan TNB sedang bekerja keras di lapangan supaya bekalan dapat disalurkan secara berperingkat.
“Kami sedang usahakan serta bertungkus-lumus untuk menyalur bekalan, namun, ia bergantung kepada akses dan keadaan setempat.
“TNB sentiasa peka dan turut bersimpati dengan keperitan rakyat yang sedang diuji dengan bencana dan TNB juga sentiasa menitikberatkan faktor keselamatan elektrik di waktu bencana banjir ketika ini,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Menurut Baharin, TNB akan berusaha memulihkan bekalan secepat mungkin, namun keselamatan awam dan barisan hadapan menjadi keutamaan dalam usaha membaik pulih bekalan.
“Antara keutamaan kami adalah memulihkan pencawang yang terkesan dan aset lain termasuk dengan membuat pengujian bagi memastikan keadaan aset-aset ini selamat untuk menyalurkan bekalan.
“Sebagai organisasi yang sentiasa prihatin dengan dugaan dialami rakyat yang sedang diuji dengan bencana, beliau berkata, TNB akan segera memberikan semula bekalan, sebaik keadaan mengizinkan dan akan memastikan bekalan ke semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berada dalam keadaan baik.
“Selain PPS, kami akan memastikan bekalan elektrik yang berterusan ke premis strategik seperti hospital dan balai polis termasuk melalui set janakuasa mudah alih jika premis berkenaan tidak dapat menerima bekalan daripada pencawang.”
Baharin juga menasihati pengguna di kawasan banjir untuk menghubungi TNB CareLine di talian 15454 atau facebook TNB CareLine jika ada pepasangan TNB, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mahupun Jabatan Kerja Raya (JKR) yang beralih atau tumbang.
“Sentiasa jauhkan diri daripada menghampiri tiang elektrik, pepasangan elektrik dan kabel elektrik termasuk yang bersalut dengan penebat yang ditenggelami air.
Semua ini mungkin masih mempunyai arus bekalan elektrik dan boleh menyebabkan risiko renjatan,” jelasnya.
Orang ramai juga dinasihatkan agar berhati-hati ketika menggunakan peralatan elektrik jika premis mereka dinaiki air. Elakkan menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembap kerana ia boleh menyebabkan renjatan elektrik. –UTUSAN ONLINE