PASIR PUTEH: Pandemik Covid-19 yang berlarutan sejak dua tahun lalu menjejaskan mata pencarian pengukir kayu tersohor Kelantan, Rosman Talib kerana tidak dapat mempamerkan hasil kerja seninya.
Rosman, 54, bagaimanapun memanfaatkan masa lapangnya yang panjang untuk menghasilkan papan congkak gergasi daripada kayu pokok sena sepanjang empat meter dengan berat 100 kilogram.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Rosman berkata, congkak berbentuk kepala gagak sura dengan corak bermotifkan ketam guri itu kini memasuki fasa terakhir iaitu proses menggilap menggunakan varnis.
Katanya, apabila siap kelak, congkak tersebut dianggarkan bernilai kira-kira RM50,000 kerana menjadi antara karya seninya yang paling sukar dan mengambil masa lama untuk disiapkan.
“Sepanjang dua tahun Covid-19 melanda negara, tempahan yang saya terima merosot. Oleh sebab tiada tempahan baharu diterima, saya banyak menghabiskan masa menyiapkan congkah gergasi ini.
“Kalau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berulang lagi, mungkin saya mampu menyiapkan sebuah lagi papan congkak gergasi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Cherang Ruku, di sini semalam.
Rosman dalam pada itu berkata, seni ukiran kayu itu dipelajarinya sejak remaja dan menjadi sumber pendapatan lumayan untuk dia menyara diri dan keluarga sejak berpuluh-puluh tahun lalu.
Katanya, selain congkak gergasi, antara hasil kerja paling dibanggakan ialah ukiran halus sepasang keris yang dijadikan hadiah oleh kerajaan Malaysia kepada Ratu England dalam satu persidangan negara-negara Komanwel di Kuala Lumpur satu ketika dulu.
Selain pernah menghasilkan ukiran sepasang keris untuk Ratu England, Rosman juga pernah membuat ukiran khas singgahsana untuk Istana Kedah, Istana Anak Bukit Kedah serta Istana Perlis.
Sebelum Covid-19 melanda, hasil kerja seninya pernah dipamerkan di beberapa lokasi terkemuka seperti Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur serta Rumah Melayu di Geylang, Singapura.