'Ada sejarah bisul pun tetap cuba kait dengan vaksin' -pakar - Utusan Malaysia

‘Ada sejarah bisul pun tetap cuba kait dengan vaksin’ -pakar

SESI libat urus media dengan lima panel berkaitan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) secara dalam talian hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Mereka yang tiada latar belakang bidang perubatan diminta tidak cuba mensensasikan sesuatu perkara yang tidak pasti sehingga mencetuskan kegusaran awam.”

 Itulah nasihat Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Hishamshah Mohd. Ibrahim merujuk isu kesan suntikan vaksin Covid-19.

Dalam nada nasihat, beliau dengan merendah diri memohon masyarakat tidak menyebarkan cerita yang tidak sahih konon imunisasi dos penggalak menjejaskan kesihatan penerimanya.

“Ada kisah tular dalam media sosial, canang dia dapat bisul selepas disuntik, tetapi apabila kita periksa balik, rupa-rupanya memang pun ada sejarah bisul sejak dulu lagi,” katanya kesal.

Terdahulu, beliau menjadi perantara dalam sesi libat urus media dengan lima panel berkaitan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) secara dalam talian hari ini.

Diskusi itu juga menjelaskan isu Kesan Buruk Susulan Imunisasi (AEFI) yang disampaikan oleh Pengarah Agensi Regulatori Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA), Dr. Roshayati Mohd. Sani.

PICKids dilancarkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur pada Khamis lalu melibatkan golongan berusia lebih lima tahun hingga bawah 11 tahun.

Mengulas lanjut, Hishamshah berkata, sikap segelintir warganet kecoh memperbesarkan kes AEFI belum pasti, memang diakui menjejaskan usaha kementerian itu menjayakan imunisasi.

“Kita amat teliti semak jika ada kes kematian disebabkan vaksin dan tiada apa hendak disorok malah semua data kes Covid-19 selama ini memang telus bagi rujukan masyarakat,” katanya.

Beliau memberi contoh laman sesawang rasmi CovidNow yang dirasmikan oleh Khairy pada 9 September tahun lalu, bahkan tiada negara pun memiliki inisiatif perkongsian data sebegitu.

Justeru, beliau memberi jaminan bahawa pihak kementerian tidak menyembunyikan apa-apa rahsia atau memanipulasi data mengenai wabak maut itu bagi menakutkan sentimen rakyat.

Ini ujarnya termasuk isu AEFI yang dimomokkan golongan antivaksin bagi menghasut boikot pengambilan dos penggalak kononnya vaksin ketiga itu tidak melindungi daripada dijangkiti.

Menyentuh PICKids, Hishamshah menegaskan pihak kementerian itu juga amat berhati-hati kerana ia melibatkan isu nyawa dan tidak berkompromi soal keselamatan vaksin digunakan.

“Insya-Allah, vaksin dipilih ini berkesan melindungi anak-anak dan saya yakin kes varian Omicron boleh turun sebelum kita dapat balik kampung untuk Hari Raya Puasa nanti,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya