PUTRAJAYA: Kerajaan menggugurkan lima keperluan prosedur pencegahan dan pengawalan Covid-19 bagi pengembara program Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL), Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) dan One Stop Centre (OSC) bermula Khamis ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, bagaimanapun, ujian pengesanan Covid-19 yang perlu dijalani dua hari sebelum berlepas ke Malaysia dan semasa ketibaan di Malaysia masih dikekalkan seperti protokol sedia ada.
Katanya, lima keperluan yang digugurkan adalah menjalani ujian RTK-Ag (kendiri) pada hari ke dua, ke empat dan ke enam selepas ketibaan bagi pengembara dari tiga kategori itu dan keperluan menjalani ujian RTK-Ag (profesional) pada hari ke tiga dan ke lima selepas ketibaan bagi pengembara dari tiga kategori itu juga.
“Dua lagi adalah menggugurkan keperluan menjalani ujian RT-PCR atau RTK-Ag (Profesional) bagi pengembara di bawah LITB sebelum keluar dari Pulau Langkawi; dan menggugurkan keperluan menjalani ujian RTK-Ag (kendiri) pada setiap hari sepanjang tempoh kuarantin wajib bagi pengembara umum yang tiba dari United Kingdom.
“Keperluan terakhir yang digugurkan adalah keperluan Pegawai Pengiring (LO) bagi pelawat perniagaan jangka pendek di bawah MIDA yang menggunakan kemudahan OSC untuk memasuki Malaysia tetapi masih perlu mengikuti jadual program terkawal yang telah dikemukakan dan diluluskan Jawatankuasa OSC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khairy berkata, bagi pengembara yang bukan memasuki Malaysia melalui tiga program yang dinyatakan, prosedur atau protokol sedia ada masih terpakai.
“Semua pengembara yang terlibat supaya bertanggungjawab dengan
sentiasa mematuhi arahan serta Prosedur Operasi Standart (SOP) yang telah ditetapkan.
“Prosedur pengurusan pengembara yang tiba dari luar negara akan disemak dari semasa ke semasa,” katanya.
Utusan Online Disember tahun lalu melaporkan Khairy mengumumkan pelaksanaan tindakan pengukuhan kepada langkah-langkah pencegahan dan kawalan sedia ada ke atas pengembara yang tiba di Malaysia bagi enam kategori dalam usaha mencegah kemasukan dan penularan Covid-19 varian Omicron, bermula 8 Disember.
“Sebanyak 43 buah negara telah melaporkan kes varian baharu Omicron dengan lapan negara dikenakan sekatan perjalanan sementara bermula 27 November lalu dan lima negara lain mempunyai penularan varian Omicron dalam komuniti.
“Enam kategori itu, VTL Udara, VTL Darat, LITB, OSC untuk pelawat perniagaan jangka pendek, pengembara dari negara-negara yang dikenakan sekatan perjalanan sementara dan pengembara dari negara yang melaporkan penularan varian itu dalam komuniti,” katanya. UTUSAN ONLINE