3,696 termasuk warga asing diselamatkan Maritim Malaysia - Utusan Malaysia

3,696 termasuk warga asing diselamatkan Maritim Malaysia

Kapal peronda Maritim Malaysia membuat rondaan bagi mencari mangsa lemas melibatkan pendatang asing di Pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor, Disember lalu. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 3,696 individu termasuk warga asing diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan negara sejak 2019 hingga tahun lalu.

Dalam tempoh sama, sebanyak 308 mayat pelbagai warganegara turut ditemukan agensi itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Zubil Mat Som memberitahu, sebanyak 776 kes dilaporkan sejak 2019 hingga tahun lalu melibatkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat).

Menurut beliau, operasi itu dilaksanakan hasil laporan yang diterima pihaknya melibatkan pelbagai kes antaranya bot nelayan hilang, lemas dan banyak lagi.

“Seramai 3,696 individu berjaya diselamatkan melibatkan 931 orang untuk tahun 2019, 1,790 orang (2020) dan 975 lagi untuk 2021.

“Kita juga turut menemukan 308 mayat Iaitu 98 orang pada 2019, 94 (2020) dan 116 (2021),” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Dalam pada itu, Mohd. Zubil berkata, ada antara mayat ditemukan termasuk warga asing yang cuba menyeludup masuk ke negara ini melalui jalan laut.

Ujar beliau, ini termasuk insiden bot karam yang membawa warga Indonesia di Tanjung Balau, Kota Tinggi Johor pada Disember lalu.

“Sebanyak 138 individu yang dilaporkan hilang di perairan negara masih belum ditemukan,” katanya.

“Selain menguatkuasakan undang-undang di zon Maritim Malaysia, kita sentiasa melaksanakan operasi yang menjadi tanggungjawab kita dalam menjaga kedaulatan perairan negara bagi memastikan keselamatan di laut terjamin serta tidak dicerobohi warga asing,” ujar beliau.

Pada 15 Disember lalu, sebuah bot pancung terbalik akibat cuaca buruk ketika menghampiri kawasan daratan berhampiran Pantai Tanjung Balau dipercayai untuk menurunkan kesemua PATI terbabit kira-kira pukul 4.30 pagi.

Radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) milik Maritim Malaysia mengesan terlebih dahulu kehadiran bot terbabit kira-kira pukul 2 pagi. Namun, disebabkan cuaca buruk, pengesanan awal yang dilakukan terputus sekali gus menyebabkan mereka berjaya meloloskan diri.

Malah, bot yang difahamkan sepatutnya mendaratkan PATI di Kampung Tengah mengubah haluan setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa dan menuju ke arah Tanjung Balau yang terletak dua hingga tiga kilometer dari lokasi asal.

Selain 16 mangsa yang masih hilang, tragedi itu meragut 21 nyawa PATI yang lemas termasuk seorang yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi, manakala 13 yang lain terselamat.

Operasi yang berjalan selama lima hari untuk mengesan baki mangsa melibatkan pelbagai agensi berpusat di Pangkalan Hadapan Pantai Tanjung Balau turut ditutup selepas pasukan penyelamat menemui jalan buntu ekoran tiada penemuan mayat baharu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya