251 PPV akan kembali beroperasi di Sabah - Utusan Malaysia

251 PPV akan kembali beroperasi di Sabah

SHAHELMEY Yahya (kiri) meninjau proses vaksinasi kanak-kanak di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Sebanyak 251 pusat pemberian vaksin (PPV) di Sabah akan beroperasi bagi memudahkan orang ramai mengambil dos penggalak serta memberi vaksin kepada kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Shahelmey Yahya berkata, PPV ini membabitkan fasiliti kesihatan awam dan juga klinik swasta bagi melancarkan proses pemberian vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICK Kids).

Beliau berkata, pihak sekolah juga sudah menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) bagi memohon pemberian vaksin di sekolah. Ia akan memudahkan dan mempercepat pemberian vaksin kepada kanak-kanak yang bersekolah.

“Di PPV Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas yang dibuka sejak 3 Februari lalu mula menunjukkan peningkatan penerima vaksin kanak-kanak iaitu daripada 20 kepada 50 orang setiap hari bagi mereka yang datang secara terus (walk-in).

“Kita harap kadar ini dapat dipertingkatkan apabila ibu bapa semakin sedar mengenai kepentingan vaksinasi demi keselamatan dan kesihatan anak-anak mereka,” katanya semasa meninjau perkembangan PICK Kids di HWKKS, Likas hari ini.

Shahelmey turut menasihatkan ibu bapa supaya segera mendaftarkan anak masing-masing menerusi janji temu MySejahtera supaya proses vaksinasi anak-anak mereka berjalan lancar.

Walau bagaimanapun, ibu bapa yang ingin datang terus ke lima PPV awam yang sudah dibuka untuk PICK Kids, mereka boleh terus berbuat demikian.

Di samping membawa anak-anak, ibu bapa yang belum mendapatkan dos penggalak juga boleh mengambil dos penggalak di PPV berkenaan.

Sehingga semalam, seramai 2,488 atau 0.57 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah menerima satu dos vaksin menerusi PICK Kids.

Mengulas lanjut katanya, walaupun dos penggalak tidak diwajibkan namun, orang ramai perlu sedar bahawa selepas tempoh tertentu, sistem imunisasi badan akan menurun maka, dos penggalak diperlukan untuk meningkatkan kembali pertahanan badan susulan varian Omicron yang kini menular dengan cepat.

Dalam pada itu, Shahelmey berkata, Kabinet Negeri Sabah belum membincangkan sebarang sekatan aktiviti atau pergerakan berikutan peningkatan kes harian Covid-19 di negeri itu.

Semalam, buat pertama kalinya pada tahun ini, Sabah mencatatkan kes tertinggi iaitu 2,069 kes positif Covid-19. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya