2 produk rumusan bayi, Abbot dicemari bakteria

2 produk rumusan bayi, Abbott dicemari bakteria

DUA produk rumusan bayi keluaran Abbott Nutrition’s Sturgis dari Amerika Syarikat didapati mempunyai bakteria. - KKM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua produk rumusan bayi keluaran Abbott Nutrition’s Sturgis dari Amerika Syarikat didapati mempunyai bakteria Cronobacter sakazakii dan Salmonella Newport susulan laporan Pihak Berkuasa Dadah dan Makanan, Amerika Syarikat (USFDA).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan mendapati Alimentum (400 gram) dan Human Milk Fortifier (0.9 gram x 50 bungkus kecil) sekali gus tindakan penolakan dibuat di semua pintu masuk negara ke atas produk terlibat.

Katanya, dua produk itu mempunyai nombor kumpulan yang dimulai digit 22 hingga 37 pada kodbar di bekas bernombor K8, SH atau Z2 serta mempunyai tarikh luput 1.4.2022 dan seterusnya.

“Bakteria Cronobacter sakazakii terdapat secara meluas di persekitaran dan boleh hidup pada keadaan kering seperti di dalam rumusan bayi yang boleh menyebabkan meningitis atau sepsis. 

“Bagaimanapun, ia jarang berlaku dan gejala yang ditunjukkan bayi adalah seperti demam, tiada selera makan atau kelesuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, pihak syarikat Abbott Laboratories (M) Sdn. Bhd. ketika dihubungi mengesahkan penarikan balik produk terlibat yang berada di pasaran tempatan secara sukarela.

Katanya, tindakan proaktif turut dilakukan dengan menghubungi peruncit, pengedar dan institusi yang membeli produk berkenaan agar menghentikan penjualan produk terbabit.

PENIAGA DALAM TALIAN

“Semua peniaga termasuk peniaga dalam talian yang masih mempunyai stok produk tersebut hendaklah menghentikan serta-merta penjualan dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat. 

“Ibu bapa dan penjaga pula dinasihatkan untuk mengenal pasti kumpulan kod rumusan bayi berkenaan serta berhenti menggunakan produk yang terlibat dan memantau kesihatan bayi serta segera mendapatkan rawatan sekiranya bayi mempunyai gejala selepas meminum rumusan susu bayi itu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. 

“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN