MELAKA: Seramai 1,258 pelajar sekolah di Melaka telah dijangkiti Covid-19 setakat 17 Februari, sementara 11 buah sekolah ditutup atas saranan pihak berkuasa kesihatan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin berkata, tempoh penutupan sekolah-sekolah yang terlibat adalah antara lima hingga tujuh hari, bergantung kepada keadaan dan tahap penularan Covid-19.
Menurut beliau, sesi pembelajaran tetap diteruskan melalui kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
“Ini amat penting bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid-murid.
“Pastinya pihak Jawatankuasa Pendidikan dan Teknologi akan memantau dan memastikan keberkesanan pembelajaran pelajar agar mengelakkan keciciran berlaku dalam kalangan pelajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sekolah yang terlibat dengan arahan penutupan berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tun Razak; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Ning; SK Paya Redan; SK Batu Berendam; SK Pulai dan SK Chinchin.
Turut ditutup Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Tuah; SK Tun Syed Ahmad Shahabudin; SK Duyung; SK Bukit Rambai dan SK Taman Bukit Rambai.
Sementara itu, mengenai vaksinasi murid berumur lima hingga sebelas tahun, Rais memberitahu, peratusan murid yang telah mengambil vaksin masih lagi rendah meskipun menunjukkan peningkatan.
Katanya, seramai 18,167 murid telah divaksin atau 18.5 peratus berbanding jumlah keseluruhan pelajar iaitu seramai 98,200 orang.
“Antara langkah-langkah pencegahan utama yang diambil oleh Jabatan Pendidikan negeri (JPN) adalah melaksanakan langkah-langkah di bawah prosedur operasi standard (SOP) 3.0 daripada pihak Kementerian Pendidikan.
“Saringan suhu dilakukan sebelum masuk dan semasa di sekolah serta ujian saringan pantas bersasar terhadap pelajar pada setiap hari.
“JPN juga telah mengarahkan pihak sekolah untuk memantau penjarakan sosial pelajar semasa sesi persekolahan. Kaedah penggiliran kehadiran pelajar juga dilakukan bagi mengelakkan kesesakan di sekolah,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE